Pemberian vaksin kepada pengamal media sangat penting

Sungguhpun pengamal media tidak diletakkan dalam Fasa 1 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan di bawah garis panduan persekutuan, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) digesa segera memasukkan golongan ini dengan mengambil kira peningkatan kes di Sarawak, kata Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii.

JPBNS katanya, harus memberikan kemas kini yang khusus mengenai kemajuan Fasa 1 program tersebut di Sarawak membabitkan petugas barisan hadapan perubatan dan bukan perubatan yang telah menerima vaksin memandangkan Fasa 2 dilaporkan akan bermula seawal minggu ini.

“Ini termasuk kemas kini untuk pemvaksinan bagi media dan wartawan di Sarawak. Pada awalnya, JPBNS mengatakan mereka ini seharusnya dimasukkan dalam Fasa 1 program tersebut, tetapi setakat ini hanya 13 petugas media yang telah diberi vaksin.

“Adalah sangat mengecewakan apabila pengamal media lain tidak diutamakan walaupun kita tahu mereka berhadapan dengan risiko.

“Malah mereka juga berisiko menyebarkan wabak tersebut kerana golongan ini aktif dalam komuniti,” ujar Dr Yii dalam kenyataan semalam.

Sehubungan itu, Dr Yii mendesak JPBNS memimpin walaupun bertentangan dengan garis panduan persekutuan terutama apabila ia mendakwa mempunyai autonomi dan autoriti, dengan mengambil kira terdapat peningkatan kes di Sarawak dan pembawa asimtomatik tinggi.

“Mereka harus mengutamakan wartawan kerana golongan ini memainkan peranan penting yang tidak dapat dilaksanakan tanpa melibatkan diri secara fizikal dalam masyarakat.

“Kerajaan negeri juga harus mempertimbangkan untuk mengurangkan acara awam dan sidang media fizikal sehingga semua yang terlibat dilindungi dengan sempurna dan jumlah kes di negeri ini dikendalikan dengan betul,” katanya.

Tambah Dr Yii, berdasarkan sifat pekerjaan pengamal media, golongan ini memenuhi dua kriteria utama iaitu berkemungkinan menyebarkan virus tersebut atau berkemungkinan besar mendapat penyakit tersebut.

Justeru, pemberian vaksin kepada media tegasnya, sangat penting terutama bagi mereka yang menjalankan tugas di lapangan.

“Memandangkan kita mendekati Fasa 2 dan kerajaan telah menyebut bahawa mereka akan memberikan keutamaan kepada petugas barisan hadapan ekonomi tertentu, saya mendesak agar pihak media juga diberikan keutamaan dalam Fasa 2 Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

“Ia dengan mengambil kira bahawa golongan ini dianggap berisiko tinggi untuk dijangkiti dan menyebarkan SARS-CoV-2 berikutan mereka aktif dalam komuniti, selain menimbang tara betapa pentingnya pekerjaan mereka dalam menyebarkan maklumat, terutama bagi pengurusan krisis kesihatan awam yang berjaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here