Bukit Mertajam, Jun-
Dua lelaki iaitu pemilik kedai dan pelanggannya yang sebelum ini tular bergaduh di sebuah kedai runcit di Seberang Jaya, di sini, menerusi video yang popular dengan ungkapan ‘one by one’ dan ‘gentleman’ akhirnya berbaik atas semangat perpaduan.
Pemilik kedai runcit, Goh Yap Eng, 49, berkata beliau dan seorang lagi lelaki yang terlibat dalam pergaduhan itu mencapai kata sepakat untuk menarik balik kes masing-masing apabila mengadakan pertemuan di hadapan pegawai penyiasat Isnin lepas.
“Kami dah OK, dah OK..hari Isnin kita pi balai polis dan kami bagi setel, (masing-masing) tarik balik kes lagipun kita semua satu Malaysia jangan gaduh-gaduh la. Kami bermaafan dan capai kata sepakat untuk selesaikannya dengan baik.
“Dia pun minta maaf dan bagi tahu semasa kejadian dalam keadaan mabuk, saya sempat nasihat dia jangan jadikan mabuk sebagai satu alasan dan kalau tak boleh kawal mabuk, tinggalkan minuman keras tersebut,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di kedai runcitnya di sini .





















