Henti kecam Prebet Adam – Hawa

“Berhentilah kecam dan aib abang serta keluarga kami. Kali ini kami akan ambil tindakan undang-undang terhadap sesiapa saja yang mengambil kesempatan mengaitkan nama Prebet Adam.

Itu amaran daripada adik arwah Prebet Adam, 57, yang dilaporkan meninggal dunia akibat jangkitan kuman dalam paru-paru di Hospital Pulau Pinang semalam.

Hawa Jaafar, 56, berkata, sudah banyak aib serta fitnah mengaitkan abang sulungnya itu digemparkan oleh pihak tertentu atas kepentingan sendiri tanpa memikirkan akibat yang ditanggung keluarga.

Jelas anak kedua daripada lapan beradik itu, kematian abangnya terpaksa disembunyikan daripada pengetahuan umum sehingga selesai upacara pengebumian susulan bimbang menjadi bahan kecaman netizen serta ‘dipergunakan’ atas kepentingan individu tertentu.

“Saya tak mau ulas apa yang berlaku sebelum ini. Cukuplah 33 tahun kami sekeluarga menanggung fitnah dan kini Prebet Adam pun sudah tiada, saya harap cerita berkaitan arwah dihentikan.

 “Hanya keluarga saja tahu hal sebenar berkaitan arwah abang dan jangan percaya cakap siapa pun, selain adik-beradik kandungnya.

“Dulu Prebet Adam masih ada, sekarang ini kami sudah kehilangannya, jadi tolong bagi ruang untuk kami (keluarga) tenang serta hidup aman, jangan asyik nak kecam,” katanya.

Tambah Hawa, abangnya itu sudah tiada untuk sesiapa saja memohon maaf atas keterlanjuran kata serta fitnah yang ditaburkan.

 “Sudah-sudahlah buka aib dan kecam arwah abang Adam yang kini sudah kembali kepada peciptaNYA.

“Harap orang ramai mendoakan abang saya dan jangan komen negatif sehingga mengguris hati kami sekeluarga yang baru kehilangan insan tersayang,” kata Hawa.

Semalam Prebet Adam atau nama sebenar Adam Jaafar dilaporkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang.

Adam dimasukkan ke hospital pada Ahad sebelum dilaporkan meninggal dunia pada jam 8.56 pagi semalam.

Jenazah Adam dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Dato Keramat di sebelah kubur ibu dan ayahnya.

Nama Prebet Adam pernah menggegarkan negara dengan insiden mengamuk di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur pada tahun 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here