Polis cari waris lelaki dakwa ditinggalkan di tepi jalan

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung seorang lelaki yang ditemui duduk bersendirian di tepi jalan di Kampung Sompo, Lenggeng di sini dan dipercayai ditinggalkan seseorang di kawasan terbabit pada Isnin diminta menghubungi polis.

Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Fazley Ab Rahman berkata, sehingga kini polis masih belum menerima laporan berkenaan lelaki terbabit.

“Setakat ini tiada laporan dibuat dan pengenalan diri lelaki itu pun tiada.

“Saya mohon waris atau sesiapa mengenali lelaki terbabit untuk hubungi pihak polis atau Hospital Tuanku Jaafar di Seremban,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, dakwaan lelaki itu yang dia dipukul sebelum ditinggalkan di tepi jalan berkenaan tidak dapat dipastikan lagi.

Pada Isnin, media  melaporkan seorang kakitangan Klinik Kesihatan Lenggeng, V Yogeswaran, 30, yang berada di lokasi berkata, lelaki yang dianggarkan berusia 50-an itu ditemui oleh orang awam dalam keadaan kelaparan kira-kira jam 3 petang.

Menurutnya, lelaki yang hanya berbaju T dan berseluar pendek itu mendakwa telah ‘dibuang’ di situ selepas dia dipukul.

“Ketika saya dalam perjalanan pulang ke rumah ke Taman Asoka, Mantin saya nampak ada polis dan penduduk berkumpul di tepi jalan itu dan apabila saya dekati, rupa-rupanya mereka sedang cuba membantu lelaki terbabit.

“Saya cuba tanya nama dan umurnya, tapi dia cakap tak pasti. Dia mendakwa ada orang yang ‘buangnya’ di situ selepas dihantar dengan van berwarna putih,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here