RM20.25 juta untuk baik pulih muzium negeri

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya telah meluluskan penyaluran pertama berjumlah RM20.25 juta kepada 103 muzium yang berada di bawah kerajaan negeri tahun ini.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri berkata peruntukan itu diharapkan dapat membantu muzium negeri bagi kerja-kerja menambah baik infrastruktur, penyelenggaraan dan baik pulih kemudahan pelancongan agar ia terus berada dalam keadaan yang kondusif untuk dikunjungi.

“Ini adalah untuk memastikan masyarakat atau mereka yang melawat muzium mengetahui mengenai sejarah dari segi kesahihan faktanya untuk dijadikan panduan khususnya buat generasi muda agar mereka boleh membantu mempromosikan negara melalui digitalisasi,” katanya.

Bercakap kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Permuziuman Negara dan Kempen Kembali ke Muzium di sini, Nancy berkata secara keseluruhannya, terdapat 236 muzium di seluruh negara dengan 22 daripadanya adalah di bawah pentadbiran Jabatan Muzium Malaysia (JMM).

Nancy berkata muzium perlu menjadi agen perubahan dan pembangunan bahkan kelangsungannya dilihat sangat penting sebagai instrumen kemajuan dalam meniti arus kemodenan serta globalisasi.

Beliau berharap perkhidmatan dan produk ditawarkan muzium adalah setara dan seiring dengan ledakan teknologi maklumat kerana stigma segelintir masyarakat yang kurang peka dan melihat muzium hanya sekadar cerminan peristiwa atau bangunan lama tempat menyimpan barang-barang antik, perlu segera diubah.

Sementara itu, Nancy berkata Dasar Permuziuman Negara dan Garis Panduan JMM yang dilancarkan hari ini adalah satu dokumen lengkap diwujudkan bagi memperkemas hala tuju institusi permuziuman tanah air selaras dengan piawaian Majlis Muzium Antarabangsa.

Beliau berkata dasar berkenaan akan menjadi panduan dan dapat melengkapi pengisian kandungan Akta Muzium yang sedang digubal ketika ini, agar tampak lebih dinamik, berstruktur dengan tadbir urus profesional sekali gus satu penjenamaan baharu dengan tarikan lebih besar pada masa akan datang. — Bernama

Ia mengandungi empat teras utama melibatkan panduan dan tatacara penubuhan muzium, pengendalian pengurusan koleksi, pengurusan konservasi dan keselamatan muzium.

Pada masa sama, JMM menyasarkan sebanyak 1.5 juta pelawat akan mengunjungi  muzium di bawah pentadbirannya tahun ini.

Katanya, kerajaan juga mengambil  inisiatif mengadakan  kempen `Kembali Ke Muzium’ bagi mempromosikan semua muzium di seluruh negara bertujuan menarik lebih ramai pelawat untuk merancakkan semula pelancongan domestik menerusi Gelembung Pergerakan Pelancongan Bersasar Domestik. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here