Sultan Nazrin perkenan ringankan hukuman seorang banduan

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah memberi perkenan meringankan hukuman pemenjaraan sepanjang hayat yang sedang dijalani seorang banduan di negeri ini kepada hukuman kepada penjara seumur.

Setiausaha Lembaga Pengampunan negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim berkata, keputusan itu dibuat pada Persidangan Lembaga Pengampunan Negeri yang dipengerusikan Sultan Perak di Istana Iskandariah Kuala Kangsar pada Selasa lalu.

Beliau berkata, sembilan rayuan telah dipersembahkan untuk pertimbangan baginda.

 “Setelah menimbangkan laporan dari Jabatan Penjara Malaysia dan ulasan Peguam Negara serta pandangan yang dipersembahkan oleh ahli-ahli Lembaga Pengampunan, Sultan Nazrin berpuas hati bahawa hukuman yang dilalui oleh seorang banduan telah memberi pengajaran berguna kepada banduan tersebut untuk berubah dan seterusnya berkelakuan baik.

“Baginda dengan itu menitahkan seorang banduan yang sedang menjalani hukuman pemenjaraan sepanjang hayat untuk diringankan hukuman kepada penjara seumur hidup berkuat kuasa Selasa 6 April 2021 bersamaan 23 Syaaban 1442H,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ahmad Suaidi berkata, Sultan Nazrin juga menitahkan nasihat bahawa sesuatu hukuman yang dijatuhkan bertujuan memberikan pengajaran kepada masyarakat agar undang-undang negara didaulatkan.

Katanya, titah baginda, pengampunan atau meringankan sesuatu hukuman yang telah diputuskan oleh mahkamah akan hanya dipertimbangkan apabila seseorang banduan menunjukkan sifat insaf, sedar dan menyesal akan kesalahan yang telah dilakukan.

“Mereka terbukti berkelakuan baik semasa berada dalam tahanan serta menunjukkan azam serta berikrar untuk memulakan penghidupan baru, lalu memohon budi bicara baginda untuk dikurniakan keampunan,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here