Tiada Vaksin atau Rawatan untuk Perubahan Iklim

Setiap pandemik yang mengancam nyawa manusia mempunyai vaksin bagi mengelak kehilangan nyawa, namun tidak bagi perubahan iklim, demikian pandangan Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Kesihatan Awam Tan Sri Dr Jemilah Mahmood.

Mengambil contoh pandemik COVID-19, Dr Jemilah berkata vaksin bagi pandemik itu berjaya dihasilkan menggunakan teknologi Messenger RNA (mRNA) yang selamat terhadap tubuh manusia.

“Sekarang kita berhadapan COVID-19 yang semua tahu boleh meragut nyawa, tetapi vaksin telah ditemui. Bagaimanapun tiada vaksin bagi perubahan iklim walaupun kesannya sama.

“Perubahan iklim berpunca daripada keghairahan pembangunan sehingga alam sekitar dirosakkan. Ini petanda buruk kerana kerosakan alam sekitar menyebabkan haiwan kehilangan habitat mereka sekali gus mendatangkan kesan kepada manusia,” katanya pada sesi Webinar ‘Peranan Malaysia Menangani Perubahan Iklim’ semalam.

Sesi secara maya itu dianjurkan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sempena Hari Bumi Sedunia 2021 yang turut disertai Ketua Setiausaha KASA Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang dan Pengerusi Bursa Malaysia Tan Sri Abdul Wahid Omar.

Justeru, Dr Jemilah berkata pengetahuan mengenai perubahan iklim perlu bermula pada peringkat sekolah bagi meningkatkan tahap kesedaran pelajar mengenai cabaran itu.

Sementara itu, Zaini mengajak rakyat negara ini untuk mengamalkan 10 amalan ke arah alam sekitar lestari antaranya mengamalkan kitar semula, menggunakan elektrik serta air secara berhemah, menanam 12 pokok setahun dan mengamalkan gaya hidup hijau.

Kesemua amalan itu dapat mengurangkan kesan perubahan iklim sekali gus sebagai penyelesaian berkesan untuk jangka masa panjang, katanya.

Beliau berkata kementeriannya sedang membangunkan pelan perancangan jangka panjang, ‘Long-Term Low Emissions Development Strategies (LT-LEDS)’ untuk dikemukakan pada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC).

Katanya pendekatan hala tuju rendah emisi atau ‘low emissions pathway’ merupakan antara strategi negara bagi mencapai sasaran pengurangan pelepasan gas rumah hijau (GHG) dalam jangka panjang.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here