PKPD di Kampung Lubok Redan, Melaka

Kerajaan memutuskan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Lubok Redan, Alor Gajah, Melaka dan Lorong 2 Kampung Kongsi 8, Tawau, Sabah bermula 16 hingga 29 Mei.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata keputusan itu diambil setelah membuat penilaian risiko bersama-sama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata pelaksanaan PKPD di Kampung Lubok Redan adalah untuk memudahkan Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar terhadap semua individu yang terlibat dan mengekang penularan jangkitan COVID-19 kepada komuniti luar.

“Sehingga kini, KKM mengesahkan terdapat peningkatan ketara kes dalam tempoh dua minggu apabila 56 kes positif direkodkan di lokaliti ini,” menurutnya dalam kenyataan mengenai PKP dan PKP Bersyarat (PKPB) hari ini.

Ismail Sabri juga berkata setakat ini, KKM melaporkan 15 kes positif COVID-19 hasil 56 saringan di Lorong 2 Kampung Kongsi 8 dengan kadar positif sebanyak 26.79 peratus. 

Katanya pelaksanaan PKPD di lokaliti itu adalah bagi memudahkan KKM menjalankan pengesanan kes secara aktif (ACD) supaya kes positif dapat diasingkan secepat mungkin dan mengekang penularan jangkitan COVID-19 kepada komuniti lain.

Beliau juga berkata pelaksanaan PKPD di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Madai, Kunak, Sabah yang berkuat kuasa sejak 1 Mei dilanjutkan hingga 28 Mei berikutan masih berlaku penularan dalam kalangan penduduk dan terdapat 51 baki sampel saringan sedang menunggu keputusan.

“Sehingga kini, KKM melaksanakan 895 ujian saringan dan daripada jumlah itu, secara kumulatif sebanyak 42 kes positif COVID-19 direkodkan,” katanya.

Menurut Ismail Sabri, kerajaan bersetuju menamatkan PKPD di Kampung Bergosong, Tawau, Sabah esok seperti yang dijadualkan sebelum ini.

Mengulas mengenai pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di seluruh negara semalam, beliau memaklumkan bahawa 292 individu ditahan kerana ingkar dan daripada jumlah itu, 278 orang telah dikompaun manakala 14 direman.

Katanya pada masa sama, tujuh pendatang tanpa izin ditahan dalam Operasi Benteng manakala 481 sekatan jalan raya turut diadakan semalam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here