Dasar RISDA perlu dikaji semula

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menyarankan dasar Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dikaji bagi membolehkan peranannya diperluaskan sejajar perubahan ekonomi dan teknologi.

Menterinya, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad berkata, kajian dasar ini perlu dilakukan bagi memastikan peranan RISDA yang ditubuhkan pada 1972 itu terus kompetitif dari segi peranan dan fungsinya membangunkan pekebun kecil dan masyarakat luar bandar.

Menurutnya, jumlah pekebun yang menanam getah semakin mengecil menyaksikan cadangan baharu diperlukan bagi RISDA terus menyumbang kepakaran dalam pengurusan termasuk industri sampingan kepada masyarakat luar bandar.

“Lembaga RISDA perlu bekerjasama dengan KPLB melihat cadangan ini. Kemudian dibawa ke peringkat kementerian, Kabinet dan jika ada perubahan akta perlu dirujuk ke Parlimen.

 “RISDA tidak boleh berterusan seperti ini, memandangkan penstrukturan semula dasar yang dikemaskini akan memberi manfaat kepada lebih ramai penduduk yang berada di luar bandar,” katanya yang juga Ahli Parlimen Mersing.

Beliau berkata pada sidang media Majlis Kasihi Pekebun dan Penyampaian Zakat RISDA di Kampung Tanjung Tuan, Mersing di sini pada Ahad.

Hadir sama,Timbalan Setiausaha (Dasar) KPLB, Datuk Che Murad Sayang Ramjan; Ketua Pengarah RISDA, Abdullah Zainal dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alawiyah Talib.

Pada majlis itu, seramai 60 penerima terdiri daripada asnaf fakir, miskin dan mualaf serta dua buah madrasah tahfiz serta sebuah masjid di Mersing menerima zakat dengan keseluruhan sebanyak RM66,400 menerusi Yayasan RISDA.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here