Bahas Palestin di Parlimen, PH sedia jamin tiada usul tidak percaya

Ahli-ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) sedia memberi jaminan bahawa tidak akan ada usul undi tidak percaya di Parlimen sekiranya kerajaan bersetuju mendengar permintaan mereka untuk membuka semula sidang Dewan Rakyat.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sidang Parlimen perlu dibuka segera agar Malaysia dapat membawa usul tentang konflik Palestin-Israel yang merupakan isu kemanusiaan terpenting di peringkat antarabangsa.

Menurutnya, jika Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin begitu takut untuk membuka Parlimen, mereka sedia memberi jaminan sedemikian demi memfokuskan kepada isu lebih besar di Palestin.

“Kalaulah Ahli Parlimen pembangkang sedia ke Parlimen dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP), kita juga boleh memberi jaminan (kepada PM).

“Kalau PM yang ada pada hari ini sangat takut Parlimen itu akan digunakan untuk membawa usul undi tak percaya, demi saudara mara kita di Palestin dan demi kemanusiaan, saya rasa tak ada masalah pun kita Ahli-ahli Parlimen beri jaminan bahawa kita tak akan bawa usul undi tak percaya kepada PM,” tegasnya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ahli Ahli Parlimen pembangkang yang mewakili pelbagai parti mengenai isu Palestin menerusi aplikasi Zoom semalam.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, pembangkang sedia memberi janji itu secara lisan mahupun bertulis kerana apa yang penting katanya, Parlimen mesti dibuka dan bersidang.

Beliau menegaskan, dunia perlu melihat Parlimen Malaysia bersidang sebagai bukti sebuah negara Islam yang sangat prihatin terhadap apa yang berlaku kepada rakyat Palestin yang ditindas.v

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here