31 peniaga dikompaun tak patuh skim harga maksimum

Seramai 31 peniaga dikompaun RM4,000 kerana gagal mematuhi Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Aidilfitri yang berakhir pada Khamis.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak, Saifullizan Kamarul Zaman berkata, 11 peniaga dikesan melakukan kesalahan tiada tanda harga khas merah jambu terhadap barangan yang dijual.

“Lapan peniaga lain direkodkan tidak mempamerkan tanda harga selain masing-masing enam peniaga direkodkan menjual melebihi harga kawalan dan alat timbang yang tidak ditentusahkan.

“Sepanjang tempoh pelaksanaan skim itu, hanya dua aduan diterima mengenai harga yang mengelirukan dan tiada tanda harga,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Menurutnya, penguat kuasa melakukan pemeriksaan di 5,525 premis sejak skim itu diperkenalkan pada 21 April lalu dan merampas pelbagai barangan bernilai RM2,197.99.

“Sebanyak 29 barangan harga terkawal disenaraikan dalam skim itu antaranya ayam, telur ayam, daging, hasil laut, barangan kering dan sayuran.

“Secara keseluruhannya, tahap pematuhan peniaga terhadap peraturan-peraturan yang ditetapkan adalah baik malah, kedudukan harga dan bekalan barangan keperluan lain adalah stabil serta mudah diperolehi di pasaran,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here