Jumpa Tengkorak ketika meracun rumput

Seorang pekerja ladang terjumpa tengkorak dengan beberapa cebisan tulang berselerak dipercayai manusia ketika meracun rumput di Ladang Seri Intan, Batu 5 di sini. 

Rangka itu ditemui pekerja ladang warga Bangladesh ketika meracun rumput liar kira-kira jam 11.30 pagi sebelum melaporkannya kepada anggota polis bantuan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, Unit Forensik (D10) bersama Unit Anjing Pengesan (K9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak menjalankan siasatan sebaik menerima laporan tersebut.

“Tengkorak terbabit dijumpai di kawasan pokok kelapa sawit yang berusia setahun setengah.

“Cebisan tulang tangan, pelvis, gigi dan peha pula ditemui bertaburan dengan jarak 10 hingga 20 meter antara satu sama lain dipercayai dimakan haiwan liar seperti biawak atau anjing,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, sebanyak 22 spesimen tulang dan sampel tanah telah diambil untuk siasatan lanjut.

“Tiada penemuan lain samada pakaian atau apa-apa senjata untuk mengaitkan dengan unsur-unsur jenayah.

“Tengkorak dan cebisan tulang itu dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat bagi mengesan identiti mangsa,” katanya.

Ahmad Adnan berkata, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Orang ramai yang kehilangan ahli keluarga diminta menghubungi Ketua Polis Balai Teluk Intan, Inspektor Al-Ikhsan Borhan di talian 05-6299222 bagi membantu siasatan serta mengesan identiti mangsa.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here