Pelajar SPM 9A didakwa tidak diberi peluang untuk masuk ke universiti kerana kurang upaya

Kumpulan pelajar, Concerned UM Indian Graduates (Cumig) mendakwa seorang pelajar kurang upaya (OKU) dinafikan peluangnya untuk melanjutkan pelajaran di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA) tempatan kerana keadaan fizikalnya.

Sepucuk surat yang dihantar kumpulan itu kepada Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad dan dilihat Malaysiakini menunjukkan bahawa Karishma (bukan nama sebenar) mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019.

Keputusan itu sepatutnya melayakkan dia menyambung pengajian di IPTA. Karishma telah disenarai pendek untuk Program Prauniversiti ASASIpintar UKM (APP) dan menghadiri temu duga serta menyediakan semua dokumen yang diperlukan, termasuk hantaran video.

Namun, semasa fasa kemas kini UPUOnline, dia mendapati pilihan kursus-kursus yang dibuat sebelum ini telah dikosongkan dan pada masa sama, senarai kelayakannya hanya menunjukkan dua progam diploma dan 20 program sijil kolej komuniti yang boleh dipohon.

Walaupun terdapat 20 universiti awam, 36 politeknik dan empat institusi latihan kemahiran awam (di Malaysia), Karishma hanya diberi peluang untuk memohon ke dua program diploma dan selebihnya merupakan program sijil kolej komuniti hanya disebabkan ketidakupayaan fizikal yang dihadapinya,” kata wakil Cumig, R Thanasegar Ramasamy dalam surat itu yang bertarikh 19 Jun lalu.

UPUOnline adalah sistem permohonan dalam talian untuk pelajar memohon kursus pengajian di IPTA. Fasa kemas kini UPUOnline pada mulanya dibuka selama tujuh hari mulai 15 Jun untuk membolehkan lepasan SPM mengemas kini permohonan berdasarkan keputusan peperiksaan mereka bagi sesi akademik 2021/2022.

Tarikh akhir kemudian dilanjutkan sehingga 2 Julai ini. Thanasegar mendakwa Karishma kemudian membuat pertanyaan melalui sistem maklum balas di laman web UPU.

Dia mendakwa pegawai yang bertugas memberitahu Kharisma yang dia tidak dapat memilih program universiti, walaupun memenuhi syarat, kerana program yang dipohonnya tidak mempunyai kemudahan untuk pelajar kurang upaya.

UPUOnline berkata pemohon hanya dapat memohon program mesra OKU yang telah ditentukan oleh universiti berdasarkan jenis kecacatan yang dihadapi oleh pemohon. Thanasegar berkata Karishma bukanlah kes terpencil kerana ada pemohon kurang upaya lain yang berdepan masalah serupa ketika membuat permohonan melalui UPUOnline.

Ketika laporan ini ditulis, Thanasegar mendakwa UKM dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah menghubunginya untuk meneliti masalah tersebut dan telah memberikan respons secara baik. sedang berusaha menghubungi UKM dan UPUOnline untuk mendapatkan komen berhubung perkara ini.

Sementara itu, Persatuan Orang Cacat Damai Malaysia (DDPAM) menyuarakan sokongannya berhubung isu yang dibangkitkan Cumig. Penjelasan yang diberikan kepada Karishma jelas menunjukkan diskriminasi terhadap golongan OKU yang telah bertungkus lumus untuk mencapai tahap layak masuk IPTA.

Kami sesungguhnya percaya kelayakan kemasukan ke IPTA dan kelayakan untuk memohon kursus haruslah berdasarkan merit iaitu keputusan peperiksaan awam (SPM dan STPM), bukannya berdasarkan keadaan fizikal seseorang pelajar dan/atau kewujudan kemudahan mesra OKU di dalam kampus/fakulti, kata presiden DDPAM Murugeswaran Veerasamy.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here