SUMBANGAN GAJET KEPADA MURID UNTUK MENGIKUTI PDPR

Segamat, Jul 19-

Kesukaran 250 pelajar daripada keluarga B40 di daerah ini yang tidak memiliki gajet untuk mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), diselesaikan melalui sumbangan telefon pintar oleh Pertubuhan Kebajikan Jiwa Prihatian (PKJP).

Sumbangan dibuat PKJP melalui kerjasama dengan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta pengurusan sekolah dan gajet diberikan terus kepada pelajar terbabit.

Pengerusi PKJP, Datuk Tan Lek Khang berkata, semalam 10 lagi pelajar yang dikenal pasti menerima kemudahan itu melalui usaha sama PIBG beberapa sekolah di sini.

Katanya, sumbangan adalah sebagai memastikan pelajar dalam kalangan golongan yang perlu dibantu itu tidak ketinggalan dan tercicir daripada mengikuti PdPR.

“Melalui kerjasama dengan PIBG, kami dapat mengenal pasti keluarga yang benar-benar memerlukan bantuan gajet itu.

“Ada pelajar terpaksa berebut gajet yang diberikan ibu bapa namun tetap ketinggalan kerana pertembungan jadual antara adik-beradik, ” katanya ketika ditemui selepas penyampaian sumbangan itu.

Seorang ibu, M Thenmolie, 32, berkata, kekangan kewangan menyebabkan dua anaknya di tahun tiga dan enam terpaksa bergilir-gilir menggunakan telefon bimbit miliknya untuk mengikut kelas PdPR.

“Suami kerja di kilang agak jauh dari rumah dan saya pula kerja di Chaah. Saya memang tinggalkan telefon pintar saya untuk digunakan kedua-dua anak saya belajar dan kerap jadual PdPR mereka bertembung.

“Sumbangan telefon pintar ini amat diperlukan dan saya berterima kasih kepada PKJP yang membantu menyelesaikan masalah,” katanya.

Seorang bapa yang juga orang kurang upaya (OKU), Sami Dass, 43, berkata, dengan adanya telefon pintar itu, ia  dapat memastikan anaknya tidak terlepas kelas yang diadakan secara dalam talian.

“Keluarga kami hanya ada satu telefon pintar dan saya terpaksa gunakan untuk bekerja. Apabila saya keluar bekerja, anak saya akan terlepas kelas kerana kami tidak mampu untuk membeli telefon baharu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here