Pengasuh anak, suami dan keponakan berusia 13 tahun didakwa atas penderaan kanak-kanak kecil

JOHOR BAHRU – Seorang pengasuh, suami serta anak saudaranya didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Ahad atas dua pertuduhan mendera dua beradik berusia tiga serta dua tahun, Jun lalu.

Tertuduh, Fazelina Mohd Lias, 37, suaminya, Mansor Saat, 57, dan anak saudara perempuannya yang berusia 13 tahun, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kedua-dua kertas pertuduhan, Fazelina, Mansor dan anak saudaranya yang secara bersama menjaga dua kanak-kanak yang masing-masing berusia tiga dan dua tahun, dituduh menganiayai kanak- kanak terbabit sehingga mereka mengalami kecederaan fizikal.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Bukit Kempas, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 10 Jun lalu.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 31(1) akta yang sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah juga hendaklah menambah hukuman tambahan mengikut Seksyen 31(2) iaitu bon berkelakuan baik selama tempoh serta syarat ditetapkan mahkamah selain melaksanakan khidmat masyarakat, jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan manakala ketiga-tiga tertuduh tidak diwakili peguam.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here