107 AHLI PARTI PEMBANGKANG MENYERTAI PERARAKAN PAGI TADI

Pergolakan politik Malaysia semakin panas apabila ahli parlimen pembangkang cuba memasuki Dewan Rakyat, namun kesemua jalan masuk disekat.

Pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) membuat benteng manusia di hadapan jalan menuju parlimen. Seorang pegawai polis yang berdiri di atas trak FRU mengumumkan kepada anggota Parlimen dan petugas media bahawa tidak ada individu yang dibenarkan memasuki parlimen.

“Semua orang, bersurai. Kami tidak akan benarkan sesiapa pun masuk, ” kata seorang anggota dari atas trak berkenaan.

Terdapat barisan trak FRU merah diparkir di belakang kenderaan itu.

Sementara itu, para ahli parlimen berdiri di hadapan sekatan itu dan melaungkan pelbagai slogan termasuk “daulat tuanku” dan “Muhyiddin undur”.

Sebilangan ahli parlimen pembangkang berkumpul di sini berikutan jalan menuju parlimen disekat pihak polis. Ahli Parlimen pembangkang mula berarak menuju Parlimen dari sini.

Sebilangan mereka mengangkat sepanduk yang bertuliskan “Mahiaddin dan kabinet letak jawatan” ketika berarak. Mereka juga menyanyikan lagu Inilah Barisan Kita dan melaungkan ‘Reformasi’ ketika berarak.

Pada jam 10. 15 pagi, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad tiba untuk menyertai ahli parlimen pembangkang.Ahli Parlimen Langkawi dan pengerusi Pejuang itu juga memberi ucapan ringkas kepada anggota parlimen sebelum menyertai perarakan ke parlimen.

Semua ahli parlimen pembangkang dari DAP, PKR, Amanah, Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Warisan, Parti Sarawak Bersatu dan Upko berkumpul untuk mendesak pengunduran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kabinetnya .

Parlimen sepatutnya bersidang hari ini tetapi ditangguhkan akibat kes Covid-19.

Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Saifuddin Nasution Ismail berkata, parlimen adalah ‘tempat kerja’ untuk wakil rakyat dan mereka akan berusaha sebaik mungkin memasuki parlimen.

Pemimpin pembangkang bergilir-gilir memberikan ucapan terlebih dahulu sebelum merancang untuk berarak ke parlimen.

Pada jam 11.30 pagi Ahli Parlimen Johor Bahru (PKR), Akmal Nasir dan Ahli Parlimen Batu, P Prabakaran berada di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi untuk membuat laporan polis berhubung perhimpunan di hadapan parlimen hari ini.

Pengarah komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, mereka berada di sana untuk membuat laporan berhubung penutupan parlimen dan tindakan menghalang anggota Dewan Rakyat memasuki bangunan parlimen pagi ini.

Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasthuri Patto berkata kerajaan PN cuba membungkam suara rakyat.

“Apabila kamu halang ahli parlimen hadir persidangan parlimen, kamu menyekat suara rakyat ke parlimen.

“Apabila kamu membungkam suara ahli parlimen, kamu bungkamkan suara rakyat.

“Kilang dibenarkan untuk dibuka dan beroperasi, dengan beratus-ratus meskipun bukan beribu-ribu orang yang diuji positif, tetapi 220 ahli parlimen tidak dibenarkan menghadiri sidang disebabkan kurang dari 1 peratus kes positif,” katanya,

Kasthuri berkata banyak negara yang memandang Malaysia sebagai negara yang menegakkan demokrasi selepas Mei 2018, akan melihat negara ini dengan pandangan sebaliknya apabila ahli parlimen berhadapan dengan FRU demi menggunakan hak mereka memasuki parlimen.

Ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP Dr Kelvin Yii pula berkata, parlimen seharusnya menjadi tonggak demokrasi tetapi kini berlaku sebaliknya apabila parlimen ditutup.

Beberapa ahli Parlimen gagal berunding dengan pihak polis untuk membenarkan mereka memasuki parlimen.

Sementara itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim dalam ucapannya berkata seramai 107 ahli parlimen dari semua parti pembangkang menyertai perarakan pagi ini.

Dia berkata, Speaker Dewan Rakyat gagal menunaikan tanggungjawabnya apabila cuba melindungi Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin yang menurutnya telah kehilangan keabsahan sebagai perdana menteri.

“Undur Muhyiddin, hidup rakyat, hidup Yang di-Pertuan Agong,” kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di akhir ucapannya, bersama anggota parlimen yang lain.

Turut hadir ialah Presiden PKR Anwar Ibrahim, Presiden Amanah, Mohamad Sabu; pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Presiden Pejuang Mukhriz Mahathir dan Presiden Warisan, Mohd Shafie Apdal.  

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim mengumumkan perarakan itu bersurai setelah polis menyekat mereka memasuki Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here