Kematian dalam tahanan di Penjara Kluang

Keluarga seorang tahanan berusia 44 tahun yang meninggal dunia di Penjara Kluang, Johor minggu lalu menuntut penjelasan mengenai punca kematiannya. Mohd Ali Othman dipenjarakan pada 3 Feb setelah disabitkan kesalahan memiliki dan menggunakan dadah. Kata keluarganya, dia dalam keadaan sihat ketika itu.

Pada sidang media pagi ini, adiknya, Siti Halijah Roseland berkata, beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara itu. Peguam keluarganya, M Visvanathan berkata, beliau akan menyerahkan surat permohonan inkues kepada Pejabat Peguam Negara.

Siti mendakwa, kesihatan Ali merosot sehingga dia meninggal dunia pada 29 Julai. Menurut pihak berkuasa penjara, Ali meninggal dunia kerana menghidap Covid-19 Kategori 4. Bagaimanapun kata Siti, penjara tidak pernah memaklumkan kepada keluarganya bahawa abangnya sakit.

Kata Siti, ketika menelefon isterinya pada pertengahan Mei, Ali memaklumkan dia dijangkiti kudis api. Menurut Ali ketika itu, dia hanya mendapat rawatan di klinik penjara seminggu kemudian.

Siti berkata, ketika pihak penjara menghubungi isteri Ali, mereka meminta beliau ke Hospital Kluang untuk menandatangani surat kebenaran melakukan pembedahan ke atas suaminya.Mereka tidak beritahu beliau penyakit apa yang dihidap Ali atau butiran lain.

Kemudian, pihak penjara menghubungi isteri Ali semula untuk memaklumkan pembedahan itu sudah dilakukan.Apabila Siti menghubungi hospital itu, beliau diberitahu abangnya dibedah di bahagian perut dan usus akibat jangkitan bakteria. Saya tidak puas hati dan menghubungi penjara pada 17 Jun lalu. Saya disambungkan ke klinik dan mereka beritahu saya, Ali sudah dirawat dan baik-baik sahaja.

Tetapi, Siti mendakwa abangnya menghubungi isterinya semula pada 8 Julai untuk mengadu dia sangat sakit dan tidak mampu berjalan. Itu adalah kali terakhir dia menghubungi isterinya. Visvanathan berkata, terlalu awal untuk mengklasifikasikan kematian itu sebagai kes Covid-19.

Katanya, polis turut menghubungi Siti pada 11 malam tadi dan meminta beliau menemui polis pada 1 tengah hari ini. Tidak wajar untuk polis memberitahu beliau tidak perlu membawa peguamnya. Visvanathan menegaskan sesiapa sahaja mempunyai hak untuk hadir bersama peguam ketika memberikan keterangan di bawah Seksyen 112. Beliau turut menggesa kerajaan memastikan semua tahanan diberikan vaksin Covid-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here