POLIS MENYERBU DUA UNIT PEMERDAGANGAN ORANG DAN PENYELUDUPAN MIGRAN

Kuala Lumpur, Ogos16-

Pada 14 Ogos 2021 jam lebih kurang 4.00 petang, sepasukan Polis dari Bahagian D3 Bukit Aman bersama JSJ IPD Brickfields telah menjalankan serbuan di sebuah kondominium yang terletak di Jalan Sungai Besi Kuala Lumpur.

Pada jam lebih kurang 4.40 petang dua orang anggota yang bertindak sebagai Ejen Provokatur (AP) setelah membuat pemerhatian mendapati wujud aktiviti eksploitasi seks melibatkan beberapa perempuan warga asing di dua unit rumah yang berasingan.

Berdasarkan pemerhatian tersebut, pihak polis pada jam 4.45 petang telah membuat pemeriksaan di salah sebuah rumah dan berjaya menahan seorang lelaki warganegara tempatan berumur 41 tahun bersama tiga perempuan warga asing di ruang tamu rumah berkenaan.

Pada jam lebih kurang 5.20 petang pihak polis telah menjalankan pemeriksaan di rumah kedua didapati seorang warga tempatan berumur 37 tahun dipercayai pelanggan berada di ruang tamu rumah berkenaan.

Hasil pemeriksaan di dua bilik tidur yang berasingan telah menjumpai dua perempuan warganegara asing.

 

 

 

 

 

 

Dalam kedua-dua serbuan ini, pihak Polis telah menangkap dua lelaki untuk penyiasatan lanjut di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) dan merampas beberapa barang dipercayai digunakan dalam aktiviti eksploitasi seks seperti minyak pelincir pelbagai jenama, beberapa helai tuala, kondom pelbagai jenama, rampasan wang tunai, telefon bimbit pelbagai jenama dan lain-lain rampasan yang relevan dengan kes.

Kedua-dua suspek telah dibawa ke hadapan Majistret Kuala Lumpur untuk permohonan tahanan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan selama (2) hari sehingga16 Ogos 2021.

Pihak Polis di bawah Seksyen 44 akta yang sama telah menyelamatkan lima perempuan warga asing yang berumur antara 19 hingga 46 tahun. Kesemua mangsa telah tinggal di lokasi sejak seminggu yang lalu dan bekerja sebagai pelacur. Mangsa mempunyai akses keluar dan masuk rumah, mempunyai telefon bimbit dan memaklumkan tidak pernah dikasari sepanjang tinggal di rumah berkenaan.

Dalam pada itu, dua lelaki  berumur 32 tahun yang merupakan pelanggan dibawa ke IPD Brickfields untuk membantu siasatan. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 12 Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM).

Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Basri Bin Sagoni mengingatkan mana-mana individu supaya tidak melakukan eksploitasi seks terhadap wanita dalam apa jua cara sekalipun. Sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh disalurkan kepada Hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222, Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana Balai Polis yang berdekatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here