Tiada pengumuman barisan kabinet hari ini – Pejabat PM

Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob tidak akan membuat sebarang pengumuman hari ini, kata pejabatnya.

Sebelum ini spekulasi bertiup kencang bahawa Ismail Sabri akan mengumumkan senarai kabinetnya, petang ini selepas mendapat perkenaan Yang di-Pertuan Agong.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima persembahan senarai anggota jemaah kabinet baru dari perdana menteri semasa sesi menghadap di Istana Abdulaziz di Kuantan, Pahang, pagi tadi.

Sebelum ini terdapat banyak kegiatan lobi-melobi untuk jawatan kabinet oleh pelbagai pihak – umpamanya Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) meminta untuk mewujudkan jawatan timbalan perdana menteri kedua  untuk diisi oleh ahli parlimen Sarawak dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki pula mencadangkan timbalan presiden parti itu  Mohamad Hasan dilantik  sebagai menteri kewangan dalam kabinet Ismail Sabri.

Sementara itu, sumber-sumber Umno dan Bersatu pula mendakwa bahawa Ahli Parlimen Gombak, Azmin Ali mengugut untuk menarik balik sokongan terhadap Ismail Sabri bersama penyokongnya jika tidak dijadikan timbalan perdana menteri.

Setiausaha politik Azmin,  Muhammad Hilman Idham menafikan laporan itu dan berkata ia adalah “sama sekali palsu, berniat jahat dan tidak bertanggungjawab”. Terdapat juga beberapa jangkaan bahawa kabinet Ismail Sabri tidak akan terlalu berbeza dengan kerajaan Muhyiddin Yassin sebelum ini.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here