463 kawasan di Lembah Klang dijangka mengalami gangguan bekalan air

Sebanyak 463 kawasan membabitkan lima wilayah di Lembah Klang akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual susulan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas selepas berlaku pencemaran bau. Ketua Komunikasi Korporat Air Selangor, Elina Baseri memaklumkan pencemaran bau yang telah dikesan itu membabitkan Stesen Pam Air Mentah Jenderam Hilir pada jam 11.10 pagi tadi.

Air Selangor sedang bekerjasama dengan Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi mengenalpasti punca pencemaran air mentah di sepanjang Sungai Semenyih dan anak-anak sungai di sekitar Sungai Semenyih. Berikutan henti tugas LRA Sg Semenyih ini, sebanyak 463 kawasan di lima (5) wilayah Air Selangor iaitu Petaling (172 kawasan), Hulu Langat (54 kawasan), Sepang (194 kawasan), Putrajaya (23 kawasan) dan Kuala Langat (20 kawasan) dijangka akan mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual, katanya.

Katanya, para pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terlibat menerusi laman sesawang Air Selangor di www.airselangor.com serta aplikasi Air Selangor. Sehubungan itu, Air Selangor telah mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) bagi menyediakan bantuan bekalan air kecemasan kepada para pengguna yang terlibat. Air Selangor amat memahami situasi para pengguna yang memerlukan air bersih terutama semasa peningkatan kes Covid-19, katanya dalam kenyataan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here