TUJUH REMAJA SESAT DI HULU LANGAT

Petaling Jaya, Sept 6-

Pasukan bomba mengambil masa kira-kira empat jam untuk menyelamat dan mengeluarkan tujuh remaja lelaki yang tersesat ketika melakukan aktiviti riadah di Jeram Gunung Hitam, Hulu Langat, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 4.15 petang semalam.

“Kejadian membabitkan tujuh remaja berusia 18 tahun yang dikatakan tersesat dalam hutan ketika melakukan aktiviti riadah di kawasan berkenaan dan semua mereka dapat dihubungi melalui telefon memaklumkan tidak mengalami kecederaan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Katanya, semua mangsa berjaya ditemui oleh pasukan bomba dalam keadaan selamat pada jam 1.51 pagi tadi dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Operasi membawa keluar mangsa mengambil masa kira-kira empat jam sebelum tiba di kawasan luar tempat riadah itu jam 5.59 pagi tadi,” katanya.

Norazam berkata, gerakan mencari menyelamat dilancarkan membabitkan 28 pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Tun Hussein Onn, Pasukan Pelbagai Kemahiran (Must) serta Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm).

Tambahnya lagi, operasi turut disertai Pasukan Bomba Sukarela, polis, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan pasukan Penyelamat Bencana Malaysia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here