Ibu meninggal, bayi berusia 5 bulan terselamat dalam nahas

Seorang wanita maut dalam perjalanan melawat ibunya dalam nahas membabitkan dua kenderaan di Kilometer (Km) 380.5 Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) arah Ajil-Bukit Besi, Kuala Berang, hari ini. Dalam kejadian pada 10.15 pagi itu, mangsa, Nurshahyda Mohd Zaki, 29, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah di kepala.

Suaminya yang memandu kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Ford Ranger, Ahmad Rakeymi Hafey Roslam, 29, dan anak mereka, Nur Ammara Safiyya, lima bulan, tidak mengalami sebarang kecederaan. Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu Mohd Adli Mat Daud, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika pemandu pacuan empat roda itu bersama isteri dan anaknya dalam perjalanan dari arah Setiu menghala ke Dungun, untuk melawat ahli keluarga mereka.

Menurutnya, sebaik tiba di lokasi kejadian, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Estima dipandu seorang penuntut universiti awam berusia 19 tahun dari arah Kuala Terengganu, menghala ke Bukit Besi dikatakan hilang kawalan ketika memotong, sebelum merempuh bahagian kiri pacuan empat roda dinaiki tiga beranak itu.

Katanya, rempuhan itu menyebabkan mangsa yang berada di tempat duduk hadapan pacuan empat roda terbabit parah di kepala, sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Mayatnya dihantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk menjalani ujian calitan Covid-19 dan proses bedah siasat. Penuntut lelaki terbabit tidak mengalami sebarang kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here