Majistret menyelamatkan nyawa saya, kata Saroja Devi

Ibu tunggal, Saroja Devi Krishnan, 46, berkata dia tidak mampu untuk bertahan untuk semalaman lagi di lokap polis selepas terpaksa bermalam di situ walaupun telah membayar jaminan RM500 berhubung kes anjing peliharaannya menyerang seorang jiran. Menceritakan pengalamannya, Saroja berkata dia sukar melalui keadaan yang memalukan dan trauma itu terutamanya pada waktu malam apabila memikirkan mengenai anak-anaknya.

Katanya, dia bukan seorang penjenayah dan tidak sepatutnya dilayan sedemikian rupa. Saya menangis sepanjang masa ketika ditempatkan dengan dua lagi yang salah seorangnya penagih dadah. Saya malu digari dan disumbat ke dalam lokap walaupun anak perempuan telah membayar wang jamin. Saya tidak menjamah apa-apa makanan dan sukar tidur.

Ketika kejadian berlaku pada Jumaat, mereka memberitahu saya hanya boleh dibebaskan pada Isnin. Saya memberitahu diri saya, jika tidak dibebaskan hari berikutnya, saya akan bunuh diri. Tahanan lain bersimpati dengan saya mengatakan mereka terkejut apabila saya ditahan hanya disebabkan kes digigit anjing.

Katanya, dia bagaikan tidak percaya selepas mengetahui akan menghabiskan masa tiga malam di lokap selepas mengaku bersalah di mahkamah pada Jumaat lalu kerana cuai hingga menyebabkan anjing peliharaannya menyerang jiran berusia 12 tahun, mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan. Dia didenda RM2,000 dan Majistret Adibah Kadir menetapkan 25 Oktober ini untuk mendengar rayuannya yang memohon mahkamah menjatuhkan hukuman denda lebih ringan. Saroja Devi digari dan dibawa ke balai polis serta merta walaupun telah membayar wang jaminan mengikut waktu yang ditetapkan dan dia ditahan di lokap semalaman.

Perasaannya agak teruk sekali apabila kamu sedar ditahan atas kesalahan yang kamu tidak lakukan. Saya tertanya-tanya sama ada sistem keadilan di negara ini telah gagal. Saya sentiasa berdoa kepada tuhan untuk menunjukkan kepada pihak berkuasa bahawa keadilan itu wujud, katanya. Saroja Devi berkata dia tidak boleh mengawal emosi setiap kali teringat dia adalah antara lapan ibu tunggal yang terpilih mengikuti kursus istimewa kerana bekerja keras membesarkan anak-anak secara bersendirian selepas bercerai dengan suami yang menderanya.

Saya adalah sayap wanita di sebuah kuil di sini yang memasak dan menghidang makanan kepada orang miskin. Kami membantu golongan miskin dan memerlukan dari rumah ke rumah. Semua orang tahu saya berkhidmat untuk masyarakat. Saya begitu malu digari dan diiring di hadapan media untuk diambil gambar, ia agak keterlaluan.

Keesokan paginya, dia merayu kepada seorang anggota polis yang datang ke lokap untuk membawa seorang tahanan bagi pendengaran reman namun wanita itu hanya disuruh untuk berdiam diri. Saroja Devi berkata, tidak lama kemudian seorang pegawai polis meminta dia mengikutnya ke mahkamah.

Sebaik melihat Majistret Adibah, terus berderai air mata saya. Beliau memberitahu polis supaya membebaskan saya segera dengan dokumen diperlukan. Saya lega dan ia menunjukkan betapa takutnya saya selepas bermalam di lokap. Puan Adibah menyelamatkan nyawa saya. Anak-anak dan saya amat terhutang budi dan sukar untuk kami membalasnya, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here