Melaka: Buntu mahu melangsaikan hutang ceti haram (along) berjumlah RM500,000 menyebabkan dua lelaki bertindak membakar tiga kenderaan milik mereka bagi membolehkan tuntutan insuran dilakukan. Dalam kejadian Isnin minggu lalu, tiga kenderaan mewah model Bentley Continental GT(A), Ford Fiesta dan Hyundai Accent dilaporkan terbakar dalam kejadian di Taman Merdeka Batu Berendam di sini.
Ketua Polis negeri Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis segera menjalankan siasatan lanjut susulan tiga laporan diterima pihaknya termasuk daripada pemilik Bentley itu. Bagaimanapun hasil siasatan dijalankan pihak polis mendapati terdapat keraguan sebelum polis menahan kedua-dua suspek. Suspek pertama yang juga pemilik kereta Bentley ditahan pada hari kejadian manakala seorang lagi ditahan keesokannya di sekitar Bandaraya Melaka. Kedua-dua mereka berusia 36 tahun,” katanya pada sidang media di Balai Polis Sungai Udang, di sini, tadi.