Masyarakat dinasihatkan agar tidak mendahului mahkamah dalam menghakimi kes membabitkan pendakwah terkenal, Ebit Lew. Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary berkata, orang ramai harus berpegang kepada prinsip seseorang tidak bersalah sehingga dibuktikan bersalah. Menurutnya, ia sekali gus bermakna proses mahkamah yang akan menentukan keputusan bersalah atau sebaliknya.
Orang yang didakwa itu mesti mengemukakan bukti dan ini bermakna proses mahkamah itu perlu berjalan sebelum dibuktikan seseorang itu benar-benar bersalah. Nasihat saya kepada penyokong atau penentang mana-mana mereka yang tersangka ini perlu berhati-hati supaya tidak mendahului undang-undang kerana seseorang itu belum dibuktikan bersalah.
Katanya, perkara itu tidak perlu dipanjangkan sebaliknya hanya perlu menunggu siasatan dan pendakwaan oleh pihak mahkamah. Adab kita dan aib orang penting untuk dijaga kerana menuduh seseorang melakukan perkara yang dosa dan maksiat juga adalah satu dosa.
Kepada netizen, kena berhati-hati dan peperangan di media sosial ini tidak perlu dipanjangkan sebaliknya tunggu siasatan dibuat dan pendakwaan jika ada kes, katanya. Berkaitan kes usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat, Ahmad Marzuk berkata, kerajaan bersedia meneruskan prosiding undang-undang terhadap individu itu sekiranya kembali ke negara ini.
Beliau berkata, sebaik Nur Sajat sudah kembali ke tanah air, tindakan prosiding pendakwaan atas kesalahan beberapa kali tidak hadir ke mahkamah akan diteruskan di bawah Enakmen Jenayah Syariah Selangor. Proses itu melihat kepada kesesuaian terutama sekali (Nur Sajat) kena berada di negara ini dan perlu hadir ke mahkamah. Sekarang kita tidak tahu di mana, namun katanya masih berada di penjara Thailand. Kalau sudah berada di sini, kita pastikan tindakan prosiding yang tertangguh sekian lama akan diteruskan katanya.