LELAKI DITEMUI RENTUNG DALAM KEBAKARAN

Kota Kinabalu, Sept 27-

Seorang lelaki ditemui rentung selepas rumahnya hangus dalam kebakaran di Kampung Nyaris-Nyaris, Bongawan, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 pagi itu, mangsa, Abdul Rahman Abu, 38, ditemui di bilik mandi rumah terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah yang dihubungi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 3.26 pagi sebelum sepasukan anggota dan pegawai dikejarkan ke tempat kejadian.

“Sebaik tiba, rumah jenis separuh kekal itu didapati telah 90% terbakar manakala sebuah kereta Proton Saga juga hangus 30%.

“Berdasarkan pemeriksaan, seorang mangsa ditemui mati di bilik mandi dan mayatnya terus dikeluarkan sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Jurucakap memaklumkan, kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.48 pagi dan mereka masih lagi menyiasat punca kebakaran berkenaan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here