Isteri tua ditinggalkan, mayat suami ditutup dengan cacing …

Sungai Petani: Wanita warga emas yang terlantar akibat masalah kesihatan hanya mampu menghidu bau mayat suaminya yang meninggal dunia di dalam bilik air rumah mereka di Taman Ria, di sini.

Kematian lelaki berusia 79 tahun itu hanya diketahui selepas jiran yang curiga dengan bau busuk dari rumah berkenaan menghubungi anak pasangan suami isteri terbabit. Difahamkan, wanita itu yang berusia 80 tahun sudah uzur serta nyanyuk hanya mampu terbaring atas tilam di ruang tamu rumah mereka yang turut dikunci dari dalam.

Sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke rumah terbabit dan terpaksa memecah pintu sebelum pemeriksaan lanjut menemui mayat lelaki berkenaan dalam bilik air yang berkunci. Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, pihaknya menerima panggilan daripada pegawai bomba jam 1.45 tengah hari yang memaklumkan penemuan mayat terbabit.

Susulan daripada itu, polis bergegas ke lokasi kejadian yang juga rumah teres setingkat dan hasil siasatan mendapati mangsa meninggal dunia lebih daripada 24 jam berdasarkan keadaan mayat yang sudah berulat. Anak pasangan terbabit memberitahu bapanya hanya tinggal berdua bersama ibu di rumah itu, katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, anak mangsa juga memberitahu yang dia akan datang melawat serta membawa makanan sekali seminggu untuk ibu bapanya. Anak mangsa mendakwa kali terakhir dia bertemu bapanya adalah pada 23 September lalu dan memberitahu mangsa tidak mempunyai sebarang penyakit. Dia juga mendakwa bapanya tidak pernah mendapatkan sebarang rawatan di klinik atau hospital katanya.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki terbabit. Kes diklasifikasi sebagai mati mengejut dan mayat dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk ujian saringan Covid-19 sebelum bedah siasat, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here