Bekas pesakit Covid-19 maut ketika mendaki Gunung Datuk

Rembau: Pasukan penyelamat diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Rembau membawa turun seorang pendaki yang meninggal dunia di Gunung Datuk, di sini, pagi tadi. Mangsa, Mohd Azam Che Mat, 45, pekerja sebuah kilang di Seremban disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik sebaik saja dibawa turun ke kaki Gunung Datuk pada jam 2.20 petang tadi.

Rakan mangsa, Zakaria Ayub, 59, berkata, dia bersama 18 orang mendaftar naik ke gunung terbabit secara dalam talian untuk menyertai cabaran Trans Naning. Menurutnya, arwah aktif mendaki sejak lebih setahun lalu dan tidak menunjukkan sebarang tanda mengalami masalah seawal pendakian pada jam 4 pagi. Mangsa adalah seorang bekas pesakit Covid-19 tahap 3 dan menunaikan solat Subuh secara berjemaah di puncak Gunung Datuk bersama yang lain.

Kami berehat lebih sejam sebelum meneruskan perjalanan ke Gunung Gagak. Lima minit selepas meneruskan perjalanan, mangsa mengadu kejang kaki dan kami berpatah balik ke arah mangsa. Bagaimanapun, mangsa sudah pun terbaring dan pengsan. Kami cuba memberi bantuan melalui tekanan dada namun mangsa tidak memberikan sebarang reaksi, katanya.

Zakaria berkata, dia dan rakan lain terus menghubungi pasukan penyelamat untuk mendapatkan bantuan bagi membawa mangsa turun. Kami tidak menyangka pendakian kali ini bersama rakan berakhir kejadian tidak diingini,katanya. Mayat diserahkan kepada polis dan di bawa ke Hospital Rembau bagi proses bedah siasat. Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Arif Ahmad Osasi berkata, pasukannya menerima maklumat berkenaan kejadian pada jam 9.28 pagi.

Katanya, ketika itu secara kebetulan anggota Pasukan Khas Taktikal Operasi Penyelamat Malaysia (Storm) sudah berada di lokasi gunung berkenaan susulan terdapat dua program dijalankan di Gunung Datuk, hari ini. Kami menerima laporan mengenai seorang lelaki dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada pada kedudukan kira-kira 300 meter dari puncak Gunung Datuk.

Mangsa dikatakan bersama 18 ahli kumpulan yang lain sedang menuju ke Gunung Gagak. Pasukan penyelamat bersama sukarelawan membabitkan seramai 30 orang bergilir-gilir mengusung mangsa turun dari puncak gunung, katanya. Beliau berkata, operasi menyelamat itu membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Mangsa yang berasal dari Kampung Sungai Tong, Setiau, Terengganu disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM serta diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here