Seorang bapa sanggup mengelar leher anak lelakinya sehingga mati di kediaman mereka di Jalan Kemudi, Bernam Jaya, Hulu Bernam, dekat sini, semalam selepas bertengkar akibat menukar siaran televisyen. Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Arsad Kamaruddin berkata lelaki berusia 71 tahun itu, mengelar leher anaknya yang berumur 37 tahun sebanyak tiga kali menggunakan pisau yang diambil di dapur, selepas menolak mangsa sehingga jatuh semasa pertengkaran itu.
Sewaktu kejadian itu berlaku, hanya suspek dan mangsa berada di dalam rumah, manakala ujian saringan air kencing terhadap suspek adalah negatif malah suspek tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau, katanya menerusi kenyataan semalam. Arsad berkata kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan suspek direman sehingga Rabu depan untuk siasatan lanjut. –Bernama





















