Langkah tidak popular tetapi berani Muhyiddin berhasil

Pandemik COVID-19, yang melanda dunia sehingga mengubah landskap kehidupan kepada kebiasaan baharu, menyebabkan negara-negara di dunia termasuk Malaysia mengambil langkah luar biasa bagi memastikan negara dapat bebas daripada pandemik itu.

Mengambil alih teraju kepimpinan negara bukan pada masa terbaik ekoran ancaman COVID-19, Tan Sri Muhyiddin Yassin jelas menggalas tugas berat apabila dilantik sebagai Perdana Menteri pada 1 Mac ketika negara sedang memerangi pandemik COVID-19, yang menyaksikan kes-kes positif meningkat ketara.

Perlu bertindak segera menangani krisis kesihatan yang melanda negara sejak akhir Januari pastinya menguji kebijaksanaan Muhyiddin mengemudi kerajaan untuk mengambil langkah berhati-hati dan membuat keputusan melaksanakan langkah yang tidak pernah dilakukan setelah mendapat nasihat daripada Kementerian Kesihatan (KKM) yang bersesuaian dengan ketetapan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Dalam tempoh 100 hari pertama sebagai Perdana Menteri, tindakan Muhyiddin memperkenalkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan pada 18 Mac sebagai usaha membendung penularan wabak COVID-19, disifatkan beberapa pihak sebagai langkah tidak popular namun berani.

Memperkenalkan kawalan pergerakan mengikut acuan tersendiri bagi Malaysia, Muhyiddin mengumumkan penguatkuasaan PKP dalam empat fasa sehingga 3 Mei, disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai 4 Mei hingga 9 Jun dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) berkuat kuasa 10 Jun sehingga 31 Ogos.

PKPP adalah sebahagian daripada ‘exit strategy’ atau strategi keluar daripada PKP bagi Malaysia yang kini memasuki fasa pemulihan COVID-19, susulan trend jangkitan wabak yang semakin menurun, manakala kapasiti perubatan dan kesihatan awam berada pada tahap lebih baik dan meyakinkan.

Mengulas tindakan kerajaan memerangi  wabak COVID-19, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, yang merupakan antara petugas barisan hadapan tertinggi memerangi COVID-19, menyifatkan penguatkuasaan PKP dibuat ketika negara tidak mempunyai keupayaan iaitu ketiadaan vaksin COVID-19 atau ubat untuk merawat pesakit.

 “Kementerian Kesihatan berbincang dengan Tan Sri (Muhyiddin) mengenai situasi COVID-19, dan saya kagum kerana beliau dengan berani ambil tindakan laksanakan PKP kerana ketika itu tak banyak negara laksanakan tindakan seumpama itu selain China.

“…pelaksanaan PKP juga menyaksikan kita mengunakan Akta 342 (Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988), tak pernah lagi dalam sejarah negara kita menggunakan akta itu.

“Kita sokong, itulah cara yang terbaik dan tiada betul ataupun salah sebab tiada orang (negara) buat lagi (PKP) ini… orang kata ‘uncharted territory’ (sesuatu yang baharu), ini satu keberanian,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama, di KKM di sini.

Mengimbas kembali pada awal tindakan Muhyiddin memperkenalkan PKP menerusi Perutusan Khas Perdana Menteri pada 16 Mac, Ketua Pengarah Kesihatan itu berkata ramai yang sangsi dengan keputusan perdana menteri untuk melaksanakan perintah kawalan itu.

“Sebelum 16 Mac itu (pengumuman PKP), ramai yang sangsi… betulkah tindakan PKP ini? Tindakan tak popular… tapi ini bukan soal (langkah) popular atau tidak, ini soal keselamatan negara dan jika itu cara untuk menyelamatkan negara, kita laksanakan dasar itu.

“Kini, kita lihat PKP berjaya meratakan lengkuk COVID-19 dan banyak negara jiran telah mengikuti langkah sama. Ini menunjukkan Malaysia sudah ke depan dalam mengunakan satu kaedah yang tidak pernah lagi diguna pakai di negara lain khususnya di rantau Asia,” katanya.

Sikap Muhyiddin memberi kepercayaan yang tinggi kepada semua penjawat awam untuk menjalankan tugas memerangi wabak itu, turut dikagumi.

Bagi Dr Noor Hisham, matlamat serta agenda kerajaan dan semua orang ketika itu hanyalah satu iaitu untuk menyelamatkan negara daripada COVID-19 dengan menggunakan kaedah ‘full government approach’ atau kerjasama padu antara semua kementerian dan agensi kerajaan.

“Bukan sahaja keberanian (buat keputusan oleh) Tan Sri (Muhyiddin), malah yang penting beliau dengar dan percaya pada penjawat awam untuk melaksanakan dasar (PKP) dalam kita memerangi COVID-19,” katanya mengingati hari pertamanya bermesyuarat bersama Muhyiddin berkaitan COVID-19 pada hari kedua Perdana Menteri memulakan tugas.

Pertama kali dalam sejarah Malaysia, PKP yang dilaksanakan itu meliputi larangan menyeluruh pergerakan dan perhimpunan ramai di seluruh negara termasuk aktiviti keagamaan, sukan, sosial dan budaya.

Sekatan menyeluruh semua perjalanan rakyat Malaysia ke luar negara turut dikenakan dan bagi yang baru pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan dan melakukan kuarantin secara sukarela selama 14 hari.

PKP turut menyaksikan kemasukan semua pelancong dan pelawat asing ke Malaysia disekat dan tindakan kawalan sempadan yang tegas.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here