Pelakon sinetron Indonesia, Hanna Kirana meninggal dunia

Jakarta: Pelakon remaja popular Indonesia, Hanna Kirana, 18, meninggal dunia akibat kegagalan pernafasan jantung di sebuah hospital di Bogor, di sini, kelmarin. Ibunya Erlina Oktarini berkata anaknya kali terakhir menjalani penggambaran seminggu yang lalu sebelum tahap kesihatannya merudum. Dia mengadu kesakitan dada, tangannya menggeletar, sebelum memutuskan untuk berehat selama dua hari dari penggambaran.

Dia jadi sangat resah, pendiam, dan tidak banyak cakap. Saya ada bertanya kepadanya apa yang berlaku pada dirinya? Dia senyap dan cuma terbatuk kecil, katanya. Menurut laporan, Hanna mengalami demam selama empat hari dan tiba-tiba tangannya bertukar menjadi kebiru-biruan. Pagi semalam, Erlina kemudian membawanya ke hospital. Sewaktu dirawat, Hanna mengalami kegagalan pernafasan jantung dan nadinya terhenti setiap 10 minit. Sehingga dia kemudian meninggal dunia pada jam 9 malam, katanya.

Hanna dikatakan begitu berahsia mengenai kesihatannya. Erlina hanya mengetahui keadaan dirinya daripada rakan-rakan pelakon lain. Sementara itu, pengurusan Icha berkongsi pelakon muda terbabit pernah menyatakan dia mengalami ulser perut. Bagaimanapun, Hanna tidak mengadu mengenai simptom lain. Tahap kesihatannya semakin merosot disebabkan terlalu sibuk dan banyak jalani penggambaran,” katanya.

Hanna dikebumikan di sebuah kawasan perkuburan berdekatan kediamannya di Bogor, semalam. Pelakon terbabit mula meledak sekitar Jun lalu selepas menggantikan Lea Ciarachel dalam sinetron kontroversi berjudul Suara Hati Istri: Zahra.  Sinetron lakonannya mendapat kecaman hebat kerana mengetengahkan isu pedofilia, perkahwinan kanak-kanak, dan poligami. Judulnya juga turut ditukar kepada Zahra Reborn 2: Isteri Impian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here