Pemandu lori, B. Sathiskumar, 43, dituduh mengeluarkan kenyataan lucah dengan niat melukakan perasaan orang lain menerusi akaun TikTok Dulal Brothers 360 yang dibaca pada 30 Jun lalu, jam 10.12 malam di Sentul.
Sathiskumar mengaku bersalah selepas tuduhan itu dibacakan dihadapan Hakim Mahkamah Sesyen Siti Aminah Ghazali.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh didenda hingga RM50,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali jika sabit dengan kesalahan.
Di mahkamah berasingan, P. Shalini didenda RM100 selepas mengaku bersalah terbabit dalam perbuatan menghina dengan niat untuk menimbulkan kemarahan dan mengganggu ketenteraman.
Majistret MS Arunjothy menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar rayuan Shalini di Mahkamah Majistret.
Shalini yang bekerja di rumah jagaan orang tua, dituduh membuat kenyataan menghina menerusi akaun TikTok alphaquinnsha, pada 4 pagi, 1 Julai lalu.
Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang membawa hukuman denda maksimum RM100.
Esha, 29, ditemui maut di kediamannya di Setapak, Kuala Lumpur pada 5 Julai lalu, sehari selepas membuat laporan polis terhadap dua individu yang memfitnahnya di TikTok.
Sathiskumar, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah atas satu lagi tuduhan mengeluarkan kenyataan untuk mengaibkan dan menggangu kesantunan seorang wanita R Puspa menerusi akaun TikTok Dulal Brothers 360 pada tarikh, waktu dan di tempat sama.





















