Alisha beritahu nak pergi jauh

“Menantu beritahu, arwah pernah maklumkan mahu pergi jauh meninggalkan keluarga. Tak sangka ia petanda dia akan meninggalkan kami selama-lamanya,” kata Mahani Hamid. Mahani 68, adalah nenek kepada Nur Alisha Safiya Mohd 7, murid Tahun Satu yang meninggal dunia selepas dilanggar van sekolah dinaikinya di Taman Dahlia, Bandar Baru Salak Tinggi di sini, semalam.

Dalam kejadian 12.10 tengah hari, Nur Alisha Safiya cedera di kepala dan disahkan meninggal dunia ketika dirawat di sebuah hospital swasta. Nur Alisha Safiya, anak bongsu daripada tiga beradik kepada pasangan kakitangan kerajaan di Putrajaya, Mohd Azlin 47, dan Mahani Saad 43. Mahani berkata, hujung minggu lalu, Nur Alisha Safiya pulang ke kampung di Felda Keratong 5, Bandar Tun Razak, Pahang bersama ibu bapanya.

Menurutnya, ketika itu, semua lima anaknya bersama cucu berkumpul di kampung untuk menziarah suaminya. Saad Hashim 70, yang menghidap kencing manis sejak 10 tahun lalu. Ketika itu, Nur Alisha Safiya cukup ceria, berbeza dengan sebelum ini yang mana dia seorang yang pemalu serta pendiam. Pada malam pertama di kampung, Nur Alisha Safiya tidak tidur hingga pagi dan menghabiskan masa bermain bersama sepupunya.

“Ketika mahu pulang, Nur Alisha Safiya bersalaman dan memeluk saya dengan lama, berbeza sebelum ini,” katanya ditemui di kediaman keluarga arwah di Taman Intan Baiduri, Labu Lanjut, Salak Tinggi hari ini. Sementara itu, abang sulung Nur Alisha Safiya, Muhammad Aiman Firdaus, 16, berkata ketika kejadian dia berada di rumah selepas tamat sesi persekolahan di Bandar Baru Salak Tinggi.

Menurutnya, dia dimaklumkan berkaitan kejadian oleh bapa saudaranya yang datang ke rumah. Nur Alisha Safiya sangat rapat dan manja dengan saya kerana saya sering membantunya menyiapkan kerja sekolah selain dijadikan rujukan jika dia berdepan masalah pembelajaran. Pemergian Nur Alisha Safiya cukup mengejutkan, rumah pasti sunyi selepas ini. Bagaimanapun, kami reda dengan ketentuan Allah SWT katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here