Empat maut kereta terperosok bawah lori tangki

Empat rakan karib maut bersama, selepas kereta yang dinaiki mereka hilang kawalan sebelum terbabas merempuh sebelum terperosok ke bawah lori tangki yang berada di tepi laluan dekat Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri awal pagi tadi. Dalam nahas jam 5.30 pagi itu, empat mangsa yang maut di lokasi terdiri daripada Nelson Harry Anak Kap, 28, yang juga pemandu Proton Persona dan tiga lagi rakannya, Mapura Anthony Jawi, 28; Langgong Gurang, 30 dan Adrian George, 21.

Seorang lagi mangsa, Brandon Libat, 28, cedera parah, manakala pemandu lori tangki terbabit terselamat.Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Superintendan Alexson Naga Chabu, berkata akibat rempuhan yang berlaku, kesemua mangsa terperangkap dalam remukan kereta terbabit.

Beliau berkata, polis terpaksa mendapatkan bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak yang mengambil mangsa hampir tiga jam bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit dalam kenderaan itu. Katanya, tiga mangsa meninggal dunia di lokasi akibat kecederaan parah di bahagian kepala dan badan masing-masing.

Siasatan awal mendapati ketika kejadian, kereta dinaiki mangsa dalam perjalanan dari arah Bintulu ke Miri. Ketika sampai di lokasi yang juga laluan lurus itu, kereta yang dinaiki mangsa memasuki laluan kiri lalu merempuh lori diletakkan di situ. Impak kuat perlanggaran itu menyebabkan kereta terbabit remuk bahagian hadapan akibat terperosok ke bawah lori berkenaan. Mayat kesemua mangsa dihantar ke Hospital Bintulu untuk bedah siasat. Mangsa cedera dihantar ke hospital sama katanya. Beliau berkata, punca sebenar nahas itu sedang disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here