Ramai kanak-kanak di PICU, KKM rayu segerakan suntikan vaksin

Seremban: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merayu supaya ibu bapa mendapatkan segera vaksinasi untuk kanak-kanak susulan kadar kemasukan golongan itu ke Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU) akibat Covid-19 meningkat sejak Februari lalu. Menterinya, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, setakat ini kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di seluruh negara yang sudah divaksin hanya 32 peratus manakala di Negeri Sembilan mencapai 35 peratus.

Katanya, pihaknya bimbang dengan peratusan rendah itu ketika kes Covid-19 membabitkan kanak-kanak terus meningkat. Yang merisaukan saya adalah peratusan kanak-kanak yang masuk di ICU. Sebab itu, saya merayu ibu bapa gunakan tempoh cuti sekolah seminggu lagi untuk segera dapatkan vaksin kerana setakat ini hanya 32 peratus saja kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun telah menerima vaksin di seluruh negara.

Ya, vaksin ini tidak dapat mencegah sangat jangkitan, tetapi penting untuk melindungi anak kita atau diri kita daripada kesan gejala buruk seperti masuk ke hospital, sesak nafas sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan atau meninggal dunia. Saya berharap kita dapat mencapai 50 peratus (kadar vaksinasi kanak-kanak) sebelum sekolah bermula, biarpun agak sukar sebab keengganan itu masih lagi ada, tetapi dilihat ada sedikit peningkatan dalam kalangan ibu bapa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Khidmat Komuniti anjuran Persatuan Pembantu Perubatan Malaysia (PPPM) Sempena Sambutan Hari Pembantu Perubatan 2022 di perkarangan Pasaraya Mydin Senawang, di sini, hari ini. Mengulas lanjut, Khairy berkata, kes kesan sampingan kanak-kanak yang divaksin sangat kecil dan jauh berbanding dewasa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau, berkata kanak-kanak hanya mengambil satu pertiga dos daripada orang dewasa. Anak saya, anak kenalan saya yang ambil tidak mengalami apa-apa kesan sampingan yang serius, mungkin terasa sakit sedikit di lengan saja, katanya.

Mengenai kemungkinan varian baharu Covid-19 dikenali sebagai ‘Deltacron’ yang mula menular di beberapa bahagian Eropah, Khairy berkata, pihaknya sentiasa memantau dan membuat kajian melalui Institut Penyelidikan Malaysia serta Kementerian Sains, Teknologi dan Iovasi (Mosti) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here