Bayar RM2,500 tak dapat jodoh, penjawat awam pukul wanita

Seorang penjawat awam memukul seorang wanita selepas berang akibat gagal mencari calon jodoh di sebuah laman web selepas membayar RM2,500 dalam kejadian di Jalan 2 Chan Sow Lin, Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Cheras, Muhammad Idzam Jaafar berkata, kejadian yang berlaku kelmarin dipercayai selepas suspek berusia 35 tahun berkunjung ke pejabat wanita itu, yang juga pegawai khidmat pelanggan syarikat penyedia platform mencari jodoh berkenaan.

Namun, berlaku perselisihan faham antara mereka sehingga menyebabkan suspek “naik angin”.Siasatan mendapati berlaku perselisihan faham antara suspek dan wanita berkenaan kerana dia sudah membayar RM2,500 kepada wanita berkenaan untuk mencari calon jodoh di laman web namun tiada calon jodoh ditemui dalam masa enam bulan.

Suspek menyalahkan wanita berkenaan sebelum membawa mangsa ke dalam lif dan menyerangnya di situ, katanya menurut laporan Harian Metro.

Idzam berkata, mangsa mengalami kecederaan dan pendarahan di kepala itu kemudiannya mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).

Polis sudah mengenal pasti lelaki terbabit dalam kejadian itu dan akan memanggilnya bagi memberi keterangan berhubung kejadian, katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang.

 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here