1,076 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan hingga September

Shah Alam: Sebanyak 1,076 kes penderaan kanak-kanak dilaporkan di Selangor bermula Januari hingga September lalu. Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), penderaan kanak-kanak di negeri ini dibahagikan kepada tiga kategori iaitu penderaan fizikal, emosi dan gangguan seksual tanpa mengkhususkan pada kes pedofil.

Daripada keseluruhan kes yang direkodkan sehingga kini, penderaan fizikal merekodkan kes tertinggi iaitu 527 diikuti gangguan seksual (514) dan emosi (35), katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini. Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Juwairiya Zulkifli (PH-Bukit Melawati) mengenai kes pedofilia di Selangor. Dr Siti Mariah berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengikut Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001 bertanggungjawab memberikan perlindungan kepada kanak-kanak daripada dicabul dari segi fizikal, emosi atau seksual daripada mana-mana pihak.

Bagi membantu mencegah dan mengurangkan kes kanak-kanak termasuk kes pedofilia, JKM Selangor mempunyai 11 Pasukan Perlindungan Kanak-kanak (PPKK) di setiap daerah di Selangor. PPKK adalah sistem sokongan kepada perkhidmatan perlindungan kanak-kanak di peringkat komuniti, katanya.

Dr Siti Mariah berkata, antara peranan PPKK adalah memaklumkan apa-apa kejadian penganiayaan dan pengabaian kepada mana-mana Pelindung atau Pegawai Kebajikan Masyarakat (PKM); memaklumkan jika terdapat ibu atau bapa pelihara yang sesuai untuk kanak-kanak yang memerlukan pemeliharaan dan perlindungan serta membantu mana-mana pelindung atau PKM untuk mendapatkan apa-apa latihan dan pekerjaan bagi kanak-kanak yang memerlukan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here