‘Paling sedih turut urus jenazah senior sekolah dulu’

Pendang, Sepanjang tempoh bertugas menguruskan jenazah pesakit COVID-19 di daerah ini, paling sedih apabila turut menguruskan jenazah senior saya yang belajar di sekolah sama dulu. Arwah meninggal dunia akibat virus itu pada usia 26 tahun, selepas bersalin anak sulung tetapi bayinya itu berjaya diselamatkan,” kata anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pendang, Mohd Faiz Shaidin, 25.

Selain itu, katanya, ada kes membabitkan seorang bapa meninggal dunia akibat COVID-19, dan disusuli anak perempuan beberapa hari kemudian juga disebabkan jangkitan virus berkenaan. Sejak memikul tugas menguruskan jenazah pesakit COVID-19 kira-kira enam bulan lalu, beliau berkata, pelbagai cabaran sudah ditempuhi. Ketika kes COVID-19 melonjak pada pertengahan tahun ini, boleh dikatakan setiap hari ada kematian tetapi saya bersama rakan tidak mempedulikan penat lelah demi menunaikan amanah tugas.

Sebaik saja dimaklumkan oleh pihak hospital bahawa ada kematian akibat COVID-19, kami bersedia menguruskan jenazah tidak kira siang atau tengah malam. Kadang-kadang pada waktu hujan pun kami laksanakan tugas hingga selesai, katanya ketika ditemui, di sini.

Setakat ini, Mohd Faiz berkata, APM Pendang sudah menguruskan 111 jenazah pesakit COVID-19 yang kebanyakannya membabitkan warga emas. Ketika bertugas, kami sentiasa dilengkapi peralatan perlindungan diri (PPE) bagi mengelak daripada dijangkiti virus berkenaan, katanya. Beliau sekali gus menasihati orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan mengamalkan pemakaian pelitup muka, penjarakan fizikal dan sanitasi tangan dengan cecair pembasmi kuman atau membasuhnya menggunakan sabun.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here