Wanita mati dikelar, polis buru buruh binaan

Seorang wanita ditemukan mati dengan kesan kelar di dada, leher, perut dan telinga di tingkat tiga Apartment Sri Nipah, Sungai Nibong, di sini, malam tadi. Dalam kejadian itu, polis turut menemukan tali dan dua pisau pemotong daging berhampiran mangsa.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong, berkata terdahulu pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 11.30 malam daripada seorang lelaki warga Bangladesh yang tinggal di rumah berkenaan. Katanya lelaki terbabit mendakwa menemukan mangsa dalam keadaan tidak bergerak dan berlumuran darah di dalam bilik sebelum menghubungi polis.

Pemeriksaan mendapati mangsa sudah meninggal dunia dengan terdapat kesan kelar pada dada, perut dan telinga selain kesan kelar sepanjang 13 sentimeter (cm) pada leher. Turut ditemukan dua pisau yang mana satu daripadanya mempunyai kesan darah dan disyaki digunakan ketika kejadian. Kita juga menemukan tali dan percaya sebelum itu mangsa diikat berdasarkan kesan ikatan pada kaki dan lengannya katanya di sini, hari ini. Mengulas lanjut Soffian berkata, pemeriksaan mendapati rumah terbabit mempunyai tiga bilik yang disewa tiga lelaki warga Bangladesh.

Katanya, saksi mendakwa terdengar pertengkaran antara mangsa dengan seorang lelaki kira-kira jam 7.30 pagi semalam sebelum menemukan mangsa dalam keadaan tidak bergerak selepas pulang dari kerja pada jam 11.30 malam. Menerusi beberapa dokumen dan salinan pasport yang ditemukan mendapati mangsa berusia 45 tahun berasal dari Indonesia, namun identiti akan disahkan selepas urusan bedah siasat dilakukan.

Berdasarkan keadaan mayat, mangsa dipercayai meninggal dunia dalam tempoh 24 jam, katanya. Susulan itu, polis menahan dua lelaki yang tinggal di rumah berkenaan bagi membantu siasatan selain sedang mengesan seorang lagi suspek yang melarikan. Suspek berusia 37 tahun itu bekerja sebagai buruh binaan dan polis masih menyiasat mengenai hubungan lelaki berkenaan dengan mangsa. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here