4 jam padam kebakaran lalang

Georgetown: Bomba mengambil masa empat jam bagi memadamkan kebakaran lalang di tanah perkuburan Cina Jalan Mount Erskine di sini, semalam.

Malah pasukan bomba turut berdepan beberapa kesukaran ketika operasi pemadaman berikutan keadaan lokasi yang terletak di kawasan berbukit.

Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bagan Jermal, Mohamad Salleh Zainun berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.23 petang, dan sembilan anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Ketika di lokasi, api yang marak di tanah perkuburan itu membabitkan kawasan seluas hampir tiga hektar (tujuh ekar). Anggota berdepan dengan kesukaran bagi mendapatkan bekalan air selain keadaan kawasannya yang berbukit.

Api berjaya dipadamkan empat jam kemudian dan operasi tamat pada 10.17 malam, katanya ketika dihubungi di sini. Sementara itu, penduduk berhampiran yang enggan dikenali mendakwa kebakaran lalang itu berlaku setiap tahun.

Ia dipercayai berlaku akibat kerja pembersihan kubur, cuma kita bimbang sekiranya ia merebak lebih teruk sehingga mengambil masa yang lama bagi dipadamkan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here