3 helikopter digerak cari 17 masih hilang

Tiga helikopter digerakkan pada hari ketiga operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) susulan tragedi bot karam di perairan Tanjung Balau, di sini, Rabu lalu. Timbalan Pengarah Operasi Agensi Penguat kuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Johor, Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa, berkata sebuah helikopter AW139 dari agensi itu, sebuah dari Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) manakala sebuah lagi helikopter Mi-17 daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), dig7erakkan bagi pencarian udara hari ini.

Op Carilamat yang memasuki hari ketiga hari ini dengan usaha bagi mengesan 17 mangsa lagi yang dipercayai masih hilang, diteruskan. Hingga jam 8.00 pagi ini, tiada penemuan baharu. Penemuan lapan mayat pada hari kedua semalam menjadikan keseluruhan mangsa yang ditemui kekal 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) maut, 17 masih hilang manakala 14 selamat.”Sektor pencarian hari ini diperluaskan sehingga 214.8 batu nautika persegi membabitkan Tanjung Balau hingga ke Tanjung Penawar.

Pencarian di laut pula membabitkan lima aset laut iaitu sebuah kapal APMM iaitu KM Tegas selaku ‘On Scene Coordinator’, sebuah bot Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan dua aset Pasukan Polis Marin (PPM) iaitu sebuah kapal dan sebuah bot,” katanya dalam kenyataan, hari ini. Dalam kejadian awal pagi Rabu lalu itu, bot pancung yang membawa 50 PATI dari Lombok dan transit di Batam, karam dibadai ombak di perairan Tanjung Balau, di sini.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria dilaporkan berkata, dalam kejadian jam 4.30 pagi itu bot pancung terbabit dipercayai karam akibat dibadai ombak akibat cuaca buruk. Beliau dilaporkan berkata, pihak Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kejadian daripada pihak Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penawar memaklumkan menerima maklumat daripada pihak Markas Taktikal Tanjung Sepang mengenai penemuan bot tersebut bersama PATI di pantai Tanjung Balau.

Sementara itu, Simon berkata, pencarian di pesisir pantai juga diteruskan oleh agensi lain membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), JBPM, PDRM dan juga Angkatan Pertahanan Awam Malaysia(APM). Jumlah keseluruhan anggota penyelamat di darat, udara dan laut yang terbabit dalam operasi hari ketiga hari ini adalah seramai 128 orang, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here