60,583 mangsa terjejas banjir di seluruh negara – JKM

Sebanyak 17,164 keluarga membabitkan 60,583 individu terjejas akibat banjir di tujuh negeri, sehingga jam 12 tengah hari tadi. Angka itu dikongsikan portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut menjelaskan 389 pusat penempatan sementara (PPS) dibuka di Pahang, Kelantan Selangor, Melaka, Perak, Negeri Sembilan dan Kuala Lumpur.

Seramai 35,589 mangsa, masing-masing 12,046 lelaki, 11,767 wanita, 10,531 kanak-kanak dan 1,245 bayi ditempatkan di 261 PPS di Pahang. Sebanyak 109 PPS dibuka di Selangor yang menempatkan 22,312 mangsa, masing-masing 7,650 lelaki, 7,454 wanita, 6,386 kanak-kanak dan 822 bayi.

Lapan PPS dibuka di Kelantan yang menempatkan 1,559 mangsa, masing-masing 435 lelaki, 522 wanita, 564 kanak-kanak dan 28 bayi, manakala tiga PPS dibuka di Melaka bagi memberi perlindungan kepada 135 mangsa yang terdiri daripada 47 lelaki, 41 wanita, 46 kanak-kanak serta seorang bayi.

Seramai 245 mangsa terdiri daripada 54 lelaki, 81 wanita, 103 kanak-kanak dan tujuh bayi ditempatkan di dua PPS di Perak, manakala 307 mangsa, masing-masing 100 lelaki, 109 wanita, 90 kanak-kanak dan lapan bayi berlindung di empat PPS di Negeri Sembilan. Selain itu, seramai 314 mangsa, masing-masing 109 lelaki, 124 wanita fan 81 kanak-kanak ditempatkan di dua PPS di Kuala Lumpur.

Mengenai kejadian tanah runtuh pula, portal Info Bencana JKM merekodkan dua PPS dibuka bagi menempatkan 132 mangsa di Batu 11, Gombak, Selangor dan Sungai Penchala, Kuala Lumpur yang terjejas akibat insiden terbabit. Portal berkenaan turut melaporkan satu kejadian kebakaran di Kuala Lumpur, membabitkan 12 mangsa yang ditempatkan di sebuah PPS dengan kapasiti 200 orang di Dewan 4B Sri Johor, Cheras.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here