Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) meminta bantuan orang ramai bagi mengesan waris tiga mangsa pengabaian keluarga. Pelindung Kanak-kanak JKM Batu Pahat, Siti Norbaya Hamzah, berkata antara mangsa pengabaian termasuk seorang bayi perempuan berusia tujuh bulan.
Bayi berkenaan ditinggalkan ibu kandungnya dikenali sebagai Nor Faezah Yatim selepas dilahirkan pada 13 Jun 2021. Katanya, bayi berkenaan dinamakan sebagai Ayra Alessa dan kini dalam keadaan sihat. Menurutnya, ibu berkenaan didapati tidak memiliki kad pengenalan diri dan tiada sebarang dokumentasi berkaitan ditemui hingga masa depan bayi berkenaan menjadi tanda tanya.
“JKM turut mengesan waris seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun 10 bulan dan dikenali sebagai Muhammad Qayyum. Kanak-kanak berkenaan ditemui orang ramai di depan rumah pasangan suami isteri di Kampung Sri Jawa, Sri Mean pada 5.30 pagi pada 15 April 2019. Ketika ditemui anggaran usia kanak-kanak berkenaan berusia sebulan dan dia ditinggalkan tanpa sebarang dokumentasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Siti Norbaya berkata, pihaknya juga mengesan waris seorang kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun dua bulan yang dikenali sebagai Mia Zahra yang ditinggalkan ketika masih bayi di tangga surau Kampung Parit Botak, Senggarang pada 28 November 2018 dan tiada sebarang dokumen ditemui. Katanya, kini JKM dalam usaha membantu kesemua mangsa pengabaian keluarga itu bagi mendaftar kelahiran, sekali gus mendapatkan dokumen pengenalan diri.
Kami berharap ibu mahupun waris tampil menghubungi Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Batu Pahat bagi membincangkan masa depan kanak-kanak ini. Mereka boleh menghubungi talian 07-4341377 bagi maklumat lanjut, katanya.