2 treler hangus, pemandu parah nahas di Seremban

Dua treler hangus selepas terbabit kemalangan di Kilometer 268.4 Lebuhraya Utara- Selatan arah utara, berhampiran Kawasan Rehat dan Rawat (RnR) Seremban, dekat sini, tengah malam tadi yang turut menyaksikan pemandu sebuah daripada kenderaan itu cedera. Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Sembilan berkata, pihaknya mendapat panggilan jam 12.19 tengah malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Seremban 2 dikerah ke lokasi.

Sebaik tiba, bomba mendapati dua treler terbakar akibat kemalangan dan pihak kami menjalankan kerja pemadaman api dan penyejukan. Dianggarkan kedua-dua treler berkenaan, masing-masing membawa muatan jentera berat dan kertas kitar semula hangus kira-kira 90 peratus.

Pemandu treler membawa kertas kitar semula cedera dan sudah dibawa Hospital Tuanku Ja’afar Seremban oleh ambulans sebelum bomba tiba. Pihak kami berjaya memadam kebakaran kira-kira jam 4.20 pagi, namun menerima panggilan kedua daripada orang awam jam 5.30 pagi memaklumkan terdapat asap daripada ketulan mampat kertas kitar semula.

Difahamkan treler yang membawa muatan jentera berat mengalami kerosakan dan pemandunya berhenti di lorong kecemasan untuk membaiki kerosakan sebelum treler yang membawa muatan kertas dari arah sama merempuh bahagian belakang,katanya.Kejadian berkenaan menyebabkan kesesakan lebih dua kilometer di lokasi berkenaan sehingga jam 9 pagi tadi kerana sisa kebakaran masih berada di lokasi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here