ADN sewa lori agih air kepada penduduk terjejas

Ahli Dewan Negeri (ADN) mengambil inisiatif bagi membantu penduduk terjejas susulan gangguan bekalan air tidak berjadual di tujuh wilayah, kelmarin.

Wakil rakyat Pandamaran Leong Tuck Chee berkata pihaknya menyewa dua buah lori untuk mengangkut air bagi diagihkan kepada penduduk setempat.

“Setiap lori mampu membawa 500 gelen air pada satu-satu masa. Kerja bermula malam tadi dan sumber air diperoleh daripada Air Selangor,” katanya melalui hantaran di Facebook.

ADN Sungai Kandis Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata perigi di Kampung Jalan Kebun yang dibina bagi berdepan situasi getir sudah diaktifkan untuk dibekalkan kepada penduduk.

“Pada masa sama sukarelawan Skuad MPKK (Majlis Pengurusan Komuniti Kampung) digerakkan ke lapangan untuk membantu penduduk,” katanya.

Sementara itu, ADN Pelabuhan Klang Azmizam Zaman Huri menghebahkan nombor telefon ahli majlis di media sosial bagi memudahkan penduduk mendapat bantuan.

“Saya sudah hubungi Air Selangor untuk minta bekalan air dihantar terutama kepada penduduk Pulau Indah dan ia sudah diterima. Masalah air di situ juga kerap berlaku susulan tekanan air rendah,” katanya.

Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang yang dihenti tugas susulan pencemaran Sungai Selangor kelmarin, beroperasi semula pada jam 10.30 malam tadi.

Ekoran itu, bekalan air 1.2 juta pemegang akaun wilayah Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat terjejas.

Air Selangor menambah pili awam dan Pusat Khidmat Setempat (PKS) dari masa ke semasa yang beroperasi selama 24 jam bagi memudahkan orang ramai mendapatkan bekalan air.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here