Doktor ditahan semula selepas pembeli tidak terima sijil vaksin

Tidak sampai 24 jam dibebaskan dengan jaminan polis, seorang doktor swasta yang disyaki terbabit dalam kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 palsu, sekali lagi ditahan. Suspek berusia 51 tahun itu ditahan semula di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu kira-kira jam 12 tengah hari semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud, berkata penahanan suspek susulan laporan polis dibuat mangsa yang mendakwa tidak menerima sijil berkenaan, walaupun sudah membuat pembayaran. Beliau berkata, mangsa mendakwa sudah membuat pembayaran sebanyak RM450 dan dijanjikan status MySejahteranya sebagai penerima akan dikemas kini dalam tempoh 14 hari namun sehingga kini, statusnya masih sama.

Setakat ini, dua laporan polis diterima iaitu satu di Marang dan di Gong Badak kelmarin (12 Januari). Hari ini, suspek direman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu, katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Terdahulu, suspek yang memakai berwarna kelabu dan berseluar jeans tiba di perkarangan Mahkamah Majistret Marang jam 9.40 pagi tadi.

Majistret Engku Nurul Ain Engku Muda membenarkan suspek direman selama dua hari bermula hari ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan. Media sebelum ini melaporkan polis Terengganu membongkarkan kegiatan penjualan sijil vaksinasi COVID-19 dipercayai palsu dengan merampas hampir 100 keping kad peringatan (temu janji) vaksinasi. Kegiatan itu terbongkar susulan serbuan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersial yang membawa kepada penahanan suspek pada Sabtu lalu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here