Cemar sungai: Reman lapan lelaki disambung

Reman lapan lelaki termasuk pengarah syarikat membaiki dan menjual jentera pembinaan yang disyaki terbabit dalam kejadian pencemaran sumber air di Sungai Selangor disambung selama enam hari bermula esok.

Perintah reman sehingga 3 November depan dikeluarkan oleh Majistret Nik Mohd Fadli Nik Azlan di Mahkamah Majistret di sini ke atas semua suspek yang berusia 28 hingga 66 tahun itu.

Permohonan itu dibuat selepas tempoh reman tujuh hari bermula Khamis lalu tamat hari ini.

Mereka yang memakai baju lokap polis berwarna ungu dan oren serta kemeja berseluar jeans ditahan di Rawang, Selangor pada jam 11.30 pagi, 21 Oktober lalu, tiba Kompleks Mahkamah Selayang pada jam 8.30 pagi tadi.

Prosiding sambung reman lapan suspek bermula 9.30 pagi selesai 50 minit kemudian.

Terdahulu, bapa 62 tahun serta anaknya yang berusia 31 tahun iaitu pengarah syarikat ditahan bersama enam pekerjanya masing-masing dua warga tempatan dan empat lelaki warga asing dari Nepal, Pakistan serta Myanmar.

Mengikut kenyataan polis sebelum ini, siasatan ke atas mereka dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat sehingga menyebabkan berlaku pemutusan bekalan air untuk tujuan pertanian, makanan atau minuman kepada manusia dan haiwan atau bagi menjalankan sebarang pengeluaran.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada lima tahun dan maksimum 30 tahun dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ia susulan pencemaran sungai yang dikesan oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) pada jam 12.38 pagi, 19 Oktober lalu.

Ekoran itu Loji Rawatan Air (LRA) Rantau Panjang terpaksa dihenti tugas apabila kadar bau dikesan pada paras tiga ton.

Pencemaran itu menyebabkan gangguan di 1,292 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang/Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here