Mahkamah menolak waran tangkap, menyiasat Zamri Vinoth

Penceramah agama, Muhammad Zamri Vinoth Kalimuthu berjaya dalam usahanya untuk membatalkan saman mahkamah yang dikemukakan dua kumpulan Hindu yang cuba memaksa polis menangkap dan menyiasat dirinya. Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini juga membenarkan permohonan tiga defendan lain iaitu polis, Kementerian Dalam Negeri dan kerajaan.

Pada 14 Sept tahun lalu, peguam Zamri memfailkan permohonan membatalkan saman itu atas alasan bahawa ia tidak mendedahkan sebab munasabah, remeh, menyusahkan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Terdahulu pada 28 April tahun lalu, kumpulan Hindu – Pertubuhan Hindhudharma Malaysia dan Majlis Belia Hindu Malaysia – memfailkan writ saman untuk mendapatkan perintah mahkamah antara lain supaya Zamri ditangkap dan disiasat atas ucapan dan tulisannya yang didakwa menghasut.

Kedua-dua kumpulan itu juga memohon pengisytiharan bahawa penceramah agama itersebut adalah ancaman kepada keselamatan dan keamanan negara berbilang kaum dan agama di Malaysia. Kedua-dua plaintif mendakwa polis antara lain cuai kerana tidak menyiasat sepenuhnya Zamri walaupun telah menerima hampir 800 laporan berhubung dakwaan kesalahan penceramah itu.

‘Kami akan rayu’

Ketika dihubungi Malaysiakini petang ini, peguam kumpulan itu Shanker Sundaram mengesahkan bahawa pesuruhjaya kehakiman Mohd Arief Emran Arifin membenarkan permohonan keempat-empat defendan untuk mengketepikan saman mereka. Selepas mendengar hujahan daripada semua pihak (semasa prosiding dalam talian hari ini melalui Zoom), mahkamah membatalkan saman kami.

Mahkamah membuat keputusan bahawa plaintif tidak mempunyai sebab untuk tindakan. Kami bagaimanapun tidak bersetuju, dan akan merayu (ke Mahkamah Rayuan),” kata Shanker.Ketika dihubungi Malaysiakini, Zamri mengesahkan bahawa Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan untuk membatalkan saman kedua-dua kumpulan itu.

Pada April 2019, Zamri, yang didakwa pelajar pendakwah Islam Dr Zakir Naik, telah ditahan, susulan dakwaan dikaitkan dengan memuat naik ke media sosial khutbah yang disifatkan menghina penganut Hindu.

Bagaimanapun, pada Julai tahun yang sama, Jabatan Peguam Negara (AGC) dilaporkan berkata ia tidak akan mendakwa Zamri berhubung insiden itu. Kemudian pada 6 Ogos 2020, melalui jawapan bertulis parlimen, KDN berkata kertas siasatan ke atas Zamri masih bersama dengan AGC.

Ia berkata terdapat tiga kertas siasatan dan satu siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 298A dan 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Tidak jelas jika kertas siasatan yang disebut oleh Kementerian Dalam Negeri adalah kertas berasingan yang masih dalam pertimbangan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here