Kuala Lumpur, Apr-
Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengarahkan penutupan sebuah pusat perlindungan kanak-kanak di Batu 9, Cheras susulan kejadian penderaan terhadap penghuninya yang tular di media sosial, baru-baru ini.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata penghuninya yang terdiri daripada 12 lelaki dan enam perempuan telah diselamatkan dan dibawa ke Hospital Kajang untuk pemeriksaan.
“KPWKM melalui JKM akan terus memantau situasi ini dan akan mengambil langkah susulan yang sewajarnya demi memastikan keselamatan, kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak,” katanya dalam kenyataan.
Semalam, pasangan suami isteri masing-masing berusia 66 dan 68 tahun ditahan kerana disyaki mendera penghuni di pusat perlindungan kanak-kanak itu.
Penahanan dibuat susulan tiga laporan penderaan fizikal dan mental oleh penghuni pusat perlindungan persendirian itu.
Ketua Polis Kajang Naazron Abdul Yusof dipetik berkata satu daripada laporan diterima menyatakan seorang penghuni ditampar di pipi atas alasan enggan menurut cakap.





















