Guru, kakitangan KEMAS dibenar berpolitik -kata PM

Kabinet memutuskan guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) dibenarkan berpolitik, berkuatkuasa serta merta. Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat bagi menghormati prinsip demokrasi, memandangkan sebelum ini mereka dilarang untuk berpolitik.

Bagaimanapun katanya, ia tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing dan sekiranya mereka berpolitik sehingga mengabaikan tugas, mereka boleh diambil tindakan.Justeru, beliau memohon Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin mengeluarkan surat pekeliling berkenaan supaya tidak lagi memberi tekanan kepada guru.

“Sebelum ini ada notis pekeliling untuk menyekat guru daripada berpolitik dan ramai guru diberi amaran untuk diambil tindakan. Saya pun sudah bawa perkara ini dalam kabinet dan ia memutuskan untuk memberi kebenaran bagi menghormati prinsip demokrasi.

Selain guru, kakitangan KEMAS juga dibenarkan berpolitik namun ia tertakluk kepada peraturan jabatan masing-masing. Sebagai contoh jika guru berpolitik sehingga meninggalkan tugas, ia boleh diambil tindakan, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengadakan pertemuan dengan pemimpin Badan Perhubungan UMNO negeri, di sini, hari ini. Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here